Isnin, 10 Disember 2018 | 2:03pm
Tun Dr Mahathir Mohamad berucap pada majlis perasmian Konvensyen Pemerkasaan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) di Putrajaya, hari ini. - Foto Ahmad Irham Mohd Noor
Tun Dr Mahathir Mohamad berucap pada majlis perasmian Konvensyen Pemerkasaan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) di Putrajaya, hari ini. - Foto Ahmad Irham Mohd Noor

Isu Pulau Kukup, semua pihak perlu terima - PM

PUTRAJAYA: Tun Dr Mahathir Mohamad mahu semua pihak menerima keputusan kerajaan untuk mengekalkan status Pulau Kukup sebagai taman negara.

Perdana Menteri berkata, semua pihak perlu faham bahawa Pulau Kukup tidak perlu dibangunkan dan harus kekal sebagai hutan simpan.

“Ini adalah pendirian Kerajaan Persekutuan, saya harap Johor akan terima. Kita tidak menyentuh mengenai Sultan.

“Tanah itu mungkin tanah sultan atau sultanah, tetapi ia tidak boleh menjadi pembangunan. Kami tidak mahu hutan bakau ini ditebang untuk membangunkan pulau ini,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Konvensyen Pemerkasaan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) di sini, hari ini.

Mengulas mengenai kenyataan Tunku Mahkota Johor (TMJ), Tunku Ismail Sultan yang menyatakan Kerajaan Persekutuan tidak harus terbabit dalam perkara tanah negeri, Dr Mahathir berkata,

Kerajaan Persekutuan bukan orang luar, sebaliknya bertanggungjawab terhadap segala yang berlaku di negara ini.

Pada 5 Disember lalu, Tunku Ismail memaklumkan Pulau Kukup yang dibatalkan sebagai rizab Taman Negara, akan menjadi Tanah Kesultanan selain memastikan pulau itu dilindungi lebih baik berikutan perubahan statusnya.

“Pada masa lalu, beberapa taman negara sudah diswastakan. Di Johor, Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan (Sultan Ibrahim Sultan Iskandar) mempunyai visi yang berbeza.

“Untuk lebih melindungi semua Taman Negara, Ke bawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan menetapkan bahawa semua Taman Negara akan diubah menjadi Tanah Kesultanan,” kata Tunku Ismail dalam Twitternya, hari ini.

Sebelum ini, Jemaah Menteri berpandangan status Pulau Kukup sebagai Taman Negara Johor perlu dikekalkan bagi memastikan kawasan itu terus kekal sebagai pulau paya bakau tidak berpenghuni kedua terbesar di dunia dan satu-satunya di perairan Johor.

Menteri Air, Tanah dan Sumber Asli, Dr Xavier Jayakumar berkata, pertukaran status kawasan itu sudah tentu boleh memberi kesan kepada pengiktirafannya sebagai kawasan berkepentingan antarabangsa yang diterima serta menjejaskan reputasi negara dalam memulihara biodiversiti.

Kebimbangan mengenai Pulau Kukup timbul berikutan warta bertarikh 25 Oktober, memaklumkan bahawa pihak berkuasa negeri akan membatalkan keseluruhan kawasan Pulau Kukup sebagai Taman Negara di bawah Subseksyen 3 (3) Enakmen Alam Sekitar Taman Negara (Johor) 1989.

Taman Negara Johor Pulau Kukup adalah kawasan paya bakau tidak berpenghuni kedua terbesar dunia.

Ia terletak dalam daerah Pontian dengan keluasan 647 hektar dan mempunyai ekosistem pulau bakau yang jarang ditemui serta menjadi khazanah biodiversiti yang tidak ternilai kepada negara dan Johor khususnya.

Terdapat kira-kira 18 spesies bakau asli di Hutan Paya Bakau Pulau Kukup dan jika dibandingkan dengan kawasan bakau lain di Semenanjung, kekayaan spesies bakau asli di kawasan itu adalah tinggi, dengan mengambil contoh Hutan Paya Laut Matang, Perak seluas 40,000 hektar tetapi hanya terdapat 21 spesies bakau asli.

Pulau Kukup juga dikenal pasti sebagai kawasan persinggahan burung migrasi, tempat pembiakan dan perlindungan hidupan liar terancam seperti Burung Botak, Bangau Cina dan Pacat Bakau serta sumber perikanan dan akuakultur negara.

Terdapat enam taman negara di Johor iaitu Endau-Rompin Peta, Endau-Rompin Selai, Tanjung Piai, Pulau Kukup, Gunung Ledang dan Taman Laut Sultan Iskandar.

Berita Harian X