Isnin, 10 Disember 2018 | 4:08pm
DZULKEFLY (dua dari kanan) melawat pesakit kanser, Henne Rafhana Razak selepas melancarkan Dana Kebajikan Terapi Sasar untuk penghidap kanser payudara HER2-positif anjuran bersama oleh Hospital Beacon dan Roche Malaysia, di Petaling Jaya, hari ini. - NSTP/Rohanis Shukri
DZULKEFLY (dua dari kanan) melawat pesakit kanser, Henne Rafhana Razak selepas melancarkan Dana Kebajikan Terapi Sasar untuk penghidap kanser payudara HER2-positif anjuran bersama oleh Hospital Beacon dan Roche Malaysia, di Petaling Jaya, hari ini. - NSTP/Rohanis Shukri

Stigma masyarakat punca lewat dapatkan rawatan kanser - Dr Dzulkefly

PETALING JAYA: Malaysia berada pada kadar rendah untuk sembuh daripada kanser payudara disebabkan kos rawatan berbanding negara Asia yang lain .

Berdasarkan laporan ‘Malaysian Study on Cancer Survival‘ (MySCan) oleh Institut Kanser Negara, sehingga Oktober 2018 kadar kelangsungan hidup sehingga lima tahun bagi penghidap kanser payudara di Malaysia adalah sebanyak 66.8 peratus berbanding 92 peratus di Korea Selatan dan 83 peratus di Singapura.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad, berkata antara penyebab utama rendahnya kadar kelangsungan hidup dalam kalangan pesakit kanser payudara adalah kos rawatan yang tinggi.

“Kebanyakan golongan berpendapatan rendah (B40) akan mendapatkan rawatan apabila mereka sudah berada di tahap 3 dan 4 ekoran kekangan kewangan.

“Justeru, kerajaan sentiasa menggalakkan kerjasama antara sektor awam dan swasta bagi mengurangkan kos rawatan kanser sekal igus membolehkan masyarakat mendapatkan perkhidmatan kesihatan yang terbaik,” katanya pada sidang akhbar selepas melancarkan Dana Kebajikan Terapi Sasar untuk penghidap kanser payudara HER2-positif anjuran bersama oleh Hospital Beacon dan Roche Malaysia, di sini, hari ini.

Yang turut hadir, Pengarah Perubatan dan Perunding Klinikal Onkologi, Datuk Dr Mohamed Ibrahim Abdul Wahid dan Pengarah Urusan Roche Malaysia, Lance Duan.

Beliau berkata, kurang kesedaran mengenai penyakit, stigma budaya terhadap penyakit serta gemar bersikap tunggu dan lihat tanpa menjalani pemeriksaan awal antara sebab lain penghidap kanser lewat mendapatkan rawatan.

“Secara purata, negara berdepan dengan sekurang-kurangnya 4,000 kes baru kanser payudara setiap tahun dengan kaum Cina satu nisbah 14, India (1: 16) dan Melayu (1:24).

“Walaupun kaum Melayu berada di kedudukan terendah, mereka juga lewat mendapatkan rawatan,” katanya.

Beliau turut memuji inisiatif kedua-kedua pihak berkenaan yang melancarkan dana kebajikan sekali gus mengurangkan kos Trastuzumab (antibodi monoklonal dalam rawatan kanser payudara) yang merawat pesakit kanser payudara HER2-positif.

Kerjasama itu membolehkan pengurangan kos daripada RM8,000 setiap sesi kepada RM2,500 sekali gus meringankan beban pesakit dengan membayar sebahagian kecil daripada kos.

“Kerajaan amat komited dalam memberikan rawatan yang adil dan terpakai kepada semua pesakit, walaupun mereka dirujuk dari swasta ke hospital awam.

“Walaupun terdapat peningkatan kos penjagaan kesihatan, kami memberi jaminan kepada orang ramai bahawa kerajaan akan terus menyediakan akses kepada rawatan yang berpatutan dan berkualiti tinggi di hospital awam,” katanya.

Kabinet Malaysia 2020

Berita Harian X