X
Selasa, 11 Disember 2018 | 6:34pm
PROGRAM kesedaran pemakaian tali pinggang keledar penumpang belakang kenderaan perlu dipergiatkan. - Foto hiasan
PROGRAM kesedaran pemakaian tali pinggang keledar penumpang belakang kenderaan perlu dipergiatkan. - Foto hiasan

MIROS gesa kempen pemakaian tali pinggang keledar penumpang belakang

KUALA LUMPUR: Program kesedaran pemakaian tali pinggang keledar penumpang belakang kenderaan perlu dipergiatkan kerana kadar pematuhan kepada undang-undang itu masih rendah iaitu hanya sekitar lima peratus, menurut Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (MIROS).

Pengerusinya, Tan Sri Lee Lam Thye, berkata penguatkuasaan juga perlu diperhebat agar pematuhan dapat ditingkatkan.

“Kajian luar negara menunjukkan penggunaan tali pinggang keledar mampu menurunkan kadar kematian dan kecederaan hingga 45 peratus.

“Bagi penumpang belakang, ia bukan sahaja mampu menyelamatkan nyawa atau mengurangkan kecederaan pemakainya, tetapi juga melindungi pemandu dan penumpang hadapan daripada terkena impak daripada penumpang belakang akibat pelanggaran,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Lam Thye berkata, pada masa ini kadar pemakaian tali pinggang keledar bagi pemandu ialah 90 peratus manakala penumpang hadapan pula 70 peratus.

Kerajaan memperkenalkan undang-undang pemakaian tali pinggang keledar bagi pemandu dan penumpang kenderaan persendirian pada 1 April 1979 dan meluaskan penggunaannya untuk merangkumi penumpang belakang pada 1 Januari 2009. – BERNAMA

Berita Harian X