Rabu, 12 Disember 2018 | 4:57pm
STATUS yang dimuat naik Tunku Temenggong Johor, Tunku Idris Iskandar Sultan Ibrahim di laman rasmi Instagramnya.
STATUS yang dimuat naik Tunku Temenggong Johor, Tunku Idris Iskandar Sultan Ibrahim di laman rasmi Instagramnya.

Status semua Taman Negara Johor kekal - Tunku Idris

JOHOR BAHRU: Tunku Temenggong Johor, Tunku Idris Iskandar Sultan Ibrahim, memberi jaminan dan berjanji tidak akan ada sebarang pembangunan dilakukan di Pulau Kukup, Pontian.

Dalam status dimuat naik di laman rasmi Instagramnya, Tunku Idris yang juga Penaung Diraja Taman Negara Johor, berkata ia adalah sebahagian daripada keutamaan dan misi Keluarga Diraja untuk melindungi semua hutan, paya bakau dan batu karang di negeri ini.

“Kepada semua rakyat Malaysia, sebagai Penaung Diraja Taman Negara Johor, saya memberi jaminan dan berjanji tiada pembangunan berlaku di Pulau Kukup.

“Ia sebahagian keutamaan keluarga saya dan misi melindungi hutan, paya bakau dan batu karang di Johor. Saya sudah menyuarakan kebimbangan dengan kerajaan pusat dan negeri berhubung alam sekitar dan hidupan liar kita,” katanya.

Menjawab persoalan seorang pengikut laman Instagramnya berhubung status terkini Pulau Kukup, Tunku Idris membalas dengan mengatakan semua masih kekal sama iaitu sebagai Taman Negara Johor.

“Semuanya kekal sama (status Pulau Kukup) dan Taman Negara Johor juga sedang melihat Gunung Panti dan Gunung Pulai untuk ditambah dalam senarai Taman Negara Johor,” tambahnya lagi.

Status Pulau Kukup di Pontian sebagai Taman Negara Johor sebelum ini menjadi tanda tanya selepas satu salinan Warta Kerajaan Johor tersebar memaklumkan pembatalan perizaban Taman Negara.

Bagaimanapun, Ahad lalu Menteri Besar, Datuk Osman Sapian, menegaskan kerajaan Johor akan memastikan status Pulau Kukup sebagai Taman Negara Johor dikekalkan.

Taman Negara Johor Pulau Kukup mempunyai tarikan 27 spesis bakau asli yang popular iaitu bakau kurap selain tujuh spesis mamalia, enam spesis reptilia, 23 spesis burung dan 111 spesis ikan.

Pulau Kukup, satu daripada dua buah pulau bakau tropikal yang tidak boleh didiami di dunia merupakan satu daripada tiga kawasan ramsar di negeri ini selain daripada Sungai Pulai Basin dan Tanjung Piai.

Berita Harian X