Khamis, 13 Disember 2018 | 4:21pm
Ketua Setiausaha Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan Datuk Seri Jamil Salleh . - Foto ihsan TERAJU

Program Food Bank KPDNHEP selamatkan 945 tan metrik lebihan makanan

KUALA LUMPUR: Sebanyak 945 tan metrik lebihan makanan berjaya diselamatkan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) menerusi program Food Bank Malaysia.

Ketua Setiausaha KPDNHEP, Datuk Seri Jamil Salleh, berkata lebihan makanan berkenaan disalurkan kepada 26,200 isi rumah di seluruh Malaysia.

Beliau berkata, program Food Bank Malaysia itu adalah inisiatif mengumpul lebihan makanan yang masih boleh diguna semula dan diasingkan untuk diagih oleh pertubuhan bukan kerajaan (NGO) seperti Mutiara Food Bank, Kechara Soup Kitchen dan Food Aid Foundation.

“Lebihan makanan berkenaan akan dikumpulkan, dibersihkan dan disimpan sebelum diagihkan oleh NGO kepada golongan yang memerlukan.

“Sehingga 15 November lalu kita berjaya menyelamatkan 945 tan metrik lebihan makanan, sekali gus memanfaatkan 26,200 isi rumah,” katanya ketika ditemui pemberita hari ini.

Jamil berkata, setakat ini terdapat 12 pasar raya yang terbabit secara cergas, umpamanya Tesco (Stores) Malaysia Sdn Bhd; GCH Retail (Malaysia) Sdn Bhd; Aeon Co (M) Bhd; Aeon Big (M) Sdn Bhd; Econsave Cash & Carry Sdn Bhd; NSK Trade City Sdn Bhd; TF Value-Mart Sdn Bhd; My Hero Hypermarket Sdn Bhd dan Family Store Sdn Bhd.

“Buat masa ini, pihak pasar raya menumpukan kepada tiga jenis barangan iaitu buah-buahan, sayur-sayuran dan roti.

“Namun, KPDHEP tidak mengehadkan mana-mana pasar raya untuk memberikan apa jua bentuk sumbangan makanan kepada kami,” katanya.

Menurutnya, beberapa projek rintis dilaksanakan di negeri terpilih seperti Pulau Pinang, Perak, Johor, Selangor, Kelantan, Kuala Lumpur, Melaka dan Negeri Sembilan.

“Projek rintis yang dilakukan di setiap negeri ini bagi memastikan setiap NGO dan pasar raya yang bertapak di negeri berkenaan dapat bersedia untuk memastikan perjalanan Program Food Bank Malaysia dapat dijalankan secara lancar di seluruh negara bermula tahun hadapan.

“Program ini akan diperluaskan ke seluruh negara dan akan dilancarkan Perdana Menteri, Tun Mahathir Mohamad, pada 22 Disember 2018 di Pulau Pinang,” katanya.

Berita Harian X