Jumaat, 14 Disember 2018 | 9:34am
M Kulasegaran. - NSTP/Mohd Yusni Ariffin

Draf laporan Jawatankuasa Bebas Pengurusan Pekerja Asing siap

KUCHING: Menteri Sumber Manusia, M Kulasegaran, berkata draf laporan Jawatankuasa Bebas Pengurusan Pekerja Asing sudah disiapkan dan akan dibentang kepada kementerian beliau dan Kementerian Dalam Negeri (KDN) dalam masa terdekat.

Kulasegaran berkata, jawatankuasa yang diketuai bekas Hakim Mahkamah Rayuan, Datuk Seri Hishamuddin Yunus, itu telah memasukkan lebih 40 syor membabitkan pelbagai perkara ke dalam laporan berkenaan.

“Laporan berkenaan adalah penting bagi menyelaras semua undang-undang berkaitan pengambilan pekerja asing untuk bekerja dalam pelbagai sektor di negara negara ini,” katanya kepada pemberita selepas mengadakan pertemuan dengan Ketua Menteri Sarawak, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg, di pejabat beliau di sini semalam.

Kulasegaran berkata, pengambilan pekerja asing dibenarkan bermula 1990 bagi tempoh enam bulan sahaja, namun berganjak kepada lebih 20 tahun.

“Segala peraturan dan dasar berkaitan pengambilan pekerja asing dalam situasi tidak teratur dengan ada peraturan membenarkan, ada yang tidak, ada yang kemungkinan dibenarkan, ada pengambilan dibenarkan hanya 20 pekerja sahaja dan ada 50 pekerja,” katanya.

Oleh sebab itu, katanya, kerajaan mahu menyusun semula segala dasar berkaitan berkenaan pengambilan pekerja asing untuk bekerja di negara ini.

Beliau berkata, semua permohonan hendaklah dibuat di atas talian dan menambah bahawa kementerian beliau hanya mempunyai akan memproseskan permohonan, manakala kelulusan akan dibuat oleh KDN.

Katanya, Malaysia perlu menandatangani memorandum Persefahaman (MoU) dengan Bangladesh, Indonesia dan beberapa negara lain kerana tempoh MoU yang ada sudah tamat tempoh sahnya.

Katanya, setakat ini Malaysia telah menandatangani MoU berkenaan dengan Nepal, manakala MoU yang sama akan ditandatangani kemudian.

Beliau berkata, mana-mana pekerja asing yang datang untuk bekerja tidak akan dikenakan sebarang levi sejajar dengan pematuhan peraturan Pertubuhan Pekerja Antarabangsa (ILO).

Sementara itu, Kulasegaran berkata pandangan Institut Penyelidikan Khazanah (KRI) membabitkan penentuan gaji minimum boleh diambil kira kerana bertepatan dalam peraturan mengikut Akta Gaji Minimum, termasuk penentuan gaji minimum mengikut sektor, termasuk kos sara hidup setempat.

Beliau berkata, penentuan gaji minimum yang ada sekarang dibuat untuk tujuan penyeragaman demi memudahkan tindakan penguatkuasaan.

“Selepas ini kita akan ambil kira cadangan mereka (KRI) dan berkemungkinan gaji minimum juga ditentukan mengikut sektor seperti perladangan dan pembuatan perlu berbeza,” katanya.

Pada 8 September lalu, Kerajaan Pusat bersetuju kadar gaji minimum diseragamkan bagi seluruh negara, termasuk Sabah dan Sarawak ditetapkan sebanyak RM1,050 sebulan dan RM5.05 sejam berkuat kuasa 1 Januari depan.

Kelmarin, Ketua Pengarang dan Felo Kanan KRI, Dr Lim Lin Lean, berkata setiap negeri di Malaysia mempunyai kos sara hidup berbeza dan dasar gaji minimum perlu mengambil kira perkara itu untuk memastikan ia akan memberi manfaat kepada penerima.

Lin Lean turut menjelaskan majikan di negara ini sebenarnya mempunyai kapasiti membayar kadar gaji sara hidup dan menggunakan alasan untuk tidak mahu membayar, sekali gus memudahkan mereka mengambil pekerja asing.

Mengenai pembinaan Institut Latihan Perindustrian (ILP) Serian, Kulasegaran berkata beliau telah membuat lawatan ke tapak projek hari ini dan akan membuat rekomendasi kepada Kementerian Kewangan.

Beliau berkata, setelah melawat tapak, berjumpa dengan kontraktor projek, berjumpa dengan penduduk tempatan, beliau berasakan projek berkenaan wajar diteruskan untuk menyediakan latihan perindustrian kepada anak-anak muda.

“Bagaimanapun terpulanglah kepada pihak Kementerian Kewangan setelah saya menyampaikan laporan dan rekomendasi saya,” katanya. – BERNAMA

Berita Harian X