Jumaat, 14 Disember 2018 | 7:04pm
TAN Sri Zainuddin Maidin meninggal dunia di Hospital Serdang, Selangor.

Zainuddin Maidin meninggal dunia

PUTRAJAYA: Bekas Menteri Penerangan, Tan Sri Zainuddin Maidin meninggal dunia di Hospital Serdang, Selangor kira-kira jam 6.40 petang, hari ini.

Perkara berkenaan disahkan oleh adiknya, Abdul Lazam ketika dihubungi NSTP sebentar tadi.

"Jenazah abang saya akan dibawa ke rumahnya di Presint 10, namun tidak tahu lagi (bila akan dibawa). Saya pun belum berada di hospital dan mahu ke sana," katanya.

Allahyarham yang berusia 79 tahun sebelum ini dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Putrajaya di sini, pada 13 November lalu akibat masalah paru-paru berair.

Beliau meninggalkan empat anak iaitu dua perempuan dan dua lelaki hasil perkongsian hidup dengan Datin Zaiton Zainol Abidin.

Mengenai Allahyarham, beliau dilahirkan pada 29 Jun 1939 di Kota Kuala Muda, Kedah.

Beliau memulakan kerjaya sebagai pemberita sambilan Utusan Melayu di Alor Setar, Kedah pada 1951 sebelum dilantik sebagai pemberita tetap sepuluh tahun kemudian.

Zainuddin pernah bertugas sebagai Wakil Utusan Melayu di London dan menjawat Ketua Pengarang Utusan Melayu pada 1982.

Pada 1992, beliau memegang pelbagai jawatan bukan editorial seperti Penasihat Jabatan Pengarang Utusan Melayu (1992) dan Pengerusi Eksekutif Utusan Publications and Distributors Sdn. Bhd. (UP&D) (1994).

Seterusnya, beliau menjadi ahli pengarah Kumpulan Utusan Melayu (M) Bhd. dan pada 1998 menjadi timbalan pengerusi eksekutif kumpulan itu.

Ruangan pojok "Awang Selamat" dalam Mingguan Malaysia kendaliannya kerap menentang puak pelampau Melayu dan bukan Melayu.

Sedikit mengenai latar belakang politiknya, Allahyarham dilantik sebagai Ahli Dewan Negara pada 1998, sebelum dinamakan Setiausaha Parlimen, Kementerian Penerangan pada 17 Januari 2001 oleh Tun Dr Mahathir Mohamad.

Beliau seterusnya mengangkat sumpah sebagai Ahli Dewan Negara untuk penggal kedua pada Februari 2001 dan dilantik Timbalan Menteri Penerangan pada 21 November 2002.

Kemudian, dalam Pilihan raya umum Malaysia 2004, beliau memenangi kerusi Merbok apabila menewaskan calon Keadilan, Saiful Izham Ramli.

Pada rombakan Kabinet yang diumumkan pada 14 Februari 2006, Perdana Menteri ketika itu, Tun Abdullah Ahmad Badawi melantik Allahyarham menjadi menteri penuh di Kementerian Penerangan menggantikan Datuk Seri Abdul Kadir Sheikh Fadzir.

Berita Harian X