Jumaat, 14 Disember 2018 | 8:03pm

Kadar tarif elektrik kekal 39.45 sen/kWj enam bulan pertama tahun depan

PUTRAJAYA: Kerajaan bersetuju untuk meneruskan pelaksanaan mekanisme ketidakseimbangan Pelepasan Kos Bahan Api (ICPT) bagi tempoh 1 Januari hingga 30 Jun 2019.

Suruhanjaya Tenaga (ST) memaklumkan, melalui pelaksanaan mekanisme itu, kadar tarif asas adalah kekal pada 39.45 sen/kWj.

Selain itu katanya, tiada surcaj tarif elektrik yang akan dikenakan kepada semua pengguna domestik kerana kerajaan memutuskan untuk menggunakan dana Kumpulan Wang Industri Elektrik sebanyak RM308 juta untuk meringankan beban rakyat.

ST berkata, pelepasan surcaj ICPT sebanyak RM948 juta kepada pengguna bukan domestik dilaksanakan secara berperingkat iaitu mengekalkan surcaj ICPT semasa sebanyak 1.35 sen/kWj untuk tempoh 1 Januari hingga 28 Februari 2019 dan bermula pada 1 Mac hingga 30 Jun 2019, surcaj ICPT adalah 2.55 sen/kWj.

“Kerajaan memutuskan untuk melaksanakan pelarasan tarif bagi pengguna komersial dan industri secara berperingkat dengan mengambil kira pandangan pihak industri yang membangkitkan isu bahawa kerajaan sering kali membuat pengumuman berkenaan pengenaan surcaj tarif elektrik di saat-saat akhir sehingga mengakibatkan syarikat menghadapi kesukaran untuk membuat perancangan kewangan yang teratur.

“Pelaksanaan secara berperingkat ini dijangka akan memberi ruang untuk syarikat membuat perancangan kewangan yang lebih berkesan,” katanya.

ST berkata, pada masa yang sama, kerajaan juga sudah mengarahkan Tenaga Nasional Berhad (TNB) untuk menyediakan kalkulator tarif elektrik yang dapat dicapai melalui portal www.myelectricitybill.my.

“Kalkulator itu akan membantu pengguna menganggarkan bil elektrik bulanan mereka bagi tempoh 1 Januari 2019 hingga 31 Disember 2020 dan membantu pengguna elektrik terutama pengguna komersial dan industri untuk membuat perancangan kewangan dengan lebih berkesan.

“Sebagai langkah untuk meminimumkan kesan kenaikan kos penjanaan elektrik, pengguna digalakkan untuk melaksanakan langkah menggunakan elektrik dengan cekap dan tips mengenainya boleh didapati di laman sesawang ST dan TNB serta aplikasi telefon bimbit myTNB.

Mengulas lanjut, ST berkata, mekanisme ICPT adalah sebahagian daripada kerangka kerja Kawal Selia Berasaskan Insentif (IBR) bagi menetapkan dan melaraskan tarif elektrik di Semenanjung Malaysia bagi tempoh 2018 hingga 2020.

Katanya, kerajaan membuat keputusan untuk meneruskan mekanisme IBR dan ICPT yang telus itu bagi memberi keyakinan kepada pelabur dan memastikan kos pembiayaan bagi membangunkan infrastruktur bekalan elektrik tidak meningkat secara mendadak akibat kejutan pasaran jika mekanisme IBR dan ICPT tidak diguna pakai dalam pelarasan tarif elektrik di Semenanjung.

“Jika keadaan ini berlaku, kos pembekalan elektrik akan meningkat dan akhirnya perlu dilepaskan kepada pengguna elektrik secara berterusan.

“Di bawah mekanisme ICPT, kos bahan api dan kos penjanaan elektrik akan disemak setiap enam bulan dan dilepaskan kepada pengguna elektrik dalam bentuk rebat atau surcaj bergantung kepada penjimatan atau peningkatan kos yang terbabit.

“Berdasarkan hasil semakan mekanisme ICPT yang dibuat oleh ST bagi tempoh 1 Julai hingga 31 Disember 2018, berlaku peningkatan dalam kos bahan api dan kos penjanaan lain sebanyak RM1,820 juta iaitu bersamaan dengan 3.43 sen/kilowatt-jam (kWj),” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

ST berkata, antara faktor utama yang menyumbang kepada peningkatan kos penjanaan dalam mekanisme ICPT di Semenanjung bagi tempoh itu adalah peningkatan harga purata bahan api arang batu kepada AS$97.835/tan metrik, berbanding harga yang diunjurkan dalam tarif asas bagi tempoh kawal selia kedua IBR (Regulatory Period 2 - RP2 : 2018 hingga 2020) iaitu AS$75/tan metrik.

Katanya, peningkatan harga bahan api arang batu adalah di luar kawalan kerajaan kerana ia adalah berasaskan harga pasaran global.

Berita Harian X