Sabtu, 15 Disember 2018 | 5:35pm
Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad tiba di Bangkok bagi menerima ijazah kehormat kedoktoran dalam bidang kepimpinan masyarakat, perniagaan dan politik daripada Universiti Rangsit (RSU) esok. - Foto BERNAMA

Dr Mahathir tiba di Bangkok untuk terima ijazah kehormat kedoktoran

BANGKOK: Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad tiba di sini tengah hari ini bagi menerima ijazah kehormat kedoktoran dalam bidang kepimpinan masyarakat, perniagaan dan politik daripada Universiti Rangsit (RSU) esok.

Pesawat khas kerajaan yang membawa Dr Mahathir dan isteri, Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali tiba di Pangkalan Tentera Udara Diraja Thailand Don Mueang pada jam 3.30 petang.

Ketibaan mereka disambut Menteri Luar, Datuk Saifuddin Abdullah dan Menteri Pendidikan Thailand Teerakiat Jareonsettasin, serta Duta Besar Malaysia ke Thailand Datuk Jojie Samuel selain pegawai kanan kedua-dua negara.

Malam ini perdana menteri dijadualkan dirai dalam jamuan malam oleh Presiden RSU Dr Arthit Qurairat.

Dr Mahathir dijadualkan ke kampus utama RSU di daerah Mueang Pathum Thani, kira-kira 30 kilometer dari sini, pagi esok bagi menghadiri upacara penganugerahan itu.

Ini merupakan anugerah kehormat kedua Dr Mahathir daripada institusi Thailand untuk tahun ini. Pada 7 November lalu beliau menerima Anugerah Pencapaian Sepanjang Hayat Pembinaan Bangsa (Sektor Awam) daripada Institut Bina Bangsa Thailand.

Pemimpin berusia 93 tahun itu merupakan individu ketiga menerima penghormatan daripada institusi pengajian tinggi terbaik Thailand berkenaan selepas Perdana Menteri Jepun Shinzo Abe yang menerima anugerah serupa pada 2016 dan Raja Bhutan Jigme Khesar Namgyel Wangchuck pada 2009 (ketika itu baginda merupakan Putera Mahkota). – BERNAMA

Berita Harian X