Ahad, 16 Disember 2018 | 10:01am
LEE Lam Thye
LEE Lam Thye

NIOSH, IOSH jalin kerjasama

BINTULU: Institut Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Negara (NIOSH) komited dalam mendokong usaha kerajaan meningkatkan tahap keselamatan dan kesihatan pekerjaan di negara ini.

Malah, usaha itu terus diperkasakan melalui jalinan kerjasama bersama pertubuhan berkaitan di negara ini, selain badan antarabangsa, termasuk Institut Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (IOSH).

Terbaru, NIOSH menandatangani memorandum kerjasama (MoC) dengan badan berpangkalan di United Kingdom (UK) pada Persidangan Tahunan Organisasi Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Asia Pasifik ke-33 (APOSHO33) di Hong Kong.

IOSH adalah sebuah organisasi profesional keselamatan dan kesihatan pekerjaan terbesar di dunia, dengan memiliki kira-kira 47,000 ahli di lebih 130 negara.

Pengerusi NIOSH, Tan Sri Lee Lam Thye, berkata melalui program kerjasama itu, kedua-dua pihak bersetuju meningkatkan tahap profesionalisme merangkumi aspek keselamatan dan kesihatan dalam sektor pekerjaan.

Katanya, melalui kerjasama itu juga, kedua-dua pihak boleh berkongsi maklumat dan pengetahuan mengenai amalan terbaik dalam menangani isu berkaitan, sekali gus membantu pihak berwajib mencari jalan penyelesaian terbaik.

“NIOSH dan IOSH juga bersetuju bekerjasama dalam pelbagai program latihan berkaitan, khusus ke arah meningkatkan tahap profesionalisme dan kecekapan dalam sektor pekerjaan di Malaysia.

“Malah, kerjasama ini turut membabitkan program penyelidikan dan pembangunan (R&D), terutama bagi merintis teknologi yang sesuai diguna pakai dalam aspek pengurusan keselamatan dan kesihatan pekerjaan,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Lam Thye berkata, inisiatif itu turut memberi manfaat kepada Sarawak kerana NIOSH akan akan mengundang pakar IOSH menyertai program seminar berkaitan ke negeri ini.

“MoC ini juga berupaya membantu NIOSH menzahirkan hasratnya menjadi Pusat Kecemerlangan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (KKP), yang bukan saja memberi manfaat kepada negara, bahkan wilayah serantau,” katanya.

Sementara itu, Lam Thye berkata, pertambahan keahlian dari semasa ke semasa di negara ini jelas membuktikan bahawa tahap kesedaran mengenai keselamatan dan kesihatan pekerjaan dalam kalangan pekerja semakin meningkat.

“Ini satu perkembangan baik, terutama dalam mendokong matlamat kerajaan mewujudkan suasana selamat dan sihat di tempat kerja di Malaysia,” katanya.

Berita Harian X