Isnin, 17 Disember 2018 | 5:43pm
TIMBALAN Ketua Eksekutif (Korporat) Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO), Datin Azlaily Abd Rahman (kanan) dan Pengarah Urusan Mache Allstar United Sdn Bhd, Arifful Ahmadi Ab Rahman hadir pada Majlis Pelancaran Program Televisyen Bangkit #PERKESOPrihatin di Kuala Lumpur, hari ini. - Foto Zulfadhli Zulkifli

Perlu pinda dua akta untuk potong gaji pekerja asing 20 peratus - PERKESO

KUALA LUMPUR: Dua akta perlu dipinda sekiranya kerajaan mahu melaksanakan cadangan pemotongan 20 peratus gaji pokok pekerja asing.

Timbalan Ketua Eksekutif (Korporat) Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO), Datin Azlaily Abd Rahman, berkata undang-undang yang perlu dipinda adalah Akta Keselamatan Sosial Pekerja 1969 (Akta 4) dan Akta Kerja 1955 (Akta 265).

Katanya, kedua-dua akta itu perlu dipinda bagi memberi kuasa kepada PERKESO untuk menahan gaji pekerja asing seperti yang dicadangkan, khusus untuk mengatasi isu pekerja asing melarikan diri daripada majikan.

“Untuk cadangan itu dilaksanakan, kerajaan perlu meminda Akta 4 dan Akta 265 kerana kita tidak boleh tahan gaji pekerja sesuka hati.

“Apabila kuasa diberikan oleh Parlimen kepada kita, barulah PERKESO boleh menahan gaji pekerja asing sebanyak 20 peratus, yang akan disertakan faedah.

“Bagaimanapun, perkara ini masih di peringkat cadangan dan hendaklah dibincangkan dalam jawatankuasa teknikal bersama pelbagai pihak, termasuklah negara yang membekalkan tenaga buruh ke Malaysia,” katanya pada sidang media Majlis Pelancaran Program Televisyen Bangkit #PERKESOPrihatin di sini, hari ini.

Turut hadir, Ketua Pejabat Sistem Insurans Pekerjaan (SIP), Datuk Mohd Sahar Darusman dan Pengarah Urusan Mache Allstar United Sdn Bhd, Arifful Ahmadi Ab Rahman.

Semalam, Menteri Sumber Manusia, M Kulasegaran dilaporkan berkata, satu jawatankuasa teknikal akan meneliti secara holistik cadangan pemotongan 20 peratus gaji pokok pekerja asing kepada PERKESO, yang boleh dituntut semula apabila mereka meninggalkan negara ini.

Pada 21 November lalu, Kulasegaran juga dilaporkan berkata, Kabinet memutuskan pekerja asing dan majikan mereka perlu mencarum dengan PERKESO bermula 1 Januari depan.

Mengulas lanjut, Azlaily yang juga sebahagian daripada anggota jawatankuasa teknikal itu berkata, kerajaan perlu mengadakan memorandum persefahaman (MoU) bersama negara pembekal tenaga buruh untuk melaksanakan cadangan itu.

Katanya, cadangan itu diusulkan kerana pihaknya menerima jumlah aduan yang tinggi daripada majikan mengenai pekerja asing yang kerap melarikan diri dan bekerja dengan majikan lain.

“Apabila pekerja asing ini berdaftar dengan PERKESO (untuk potongan gaji 20 peratus), kita akan dapat mengesan jika mereka lari daripada majikan asal kerana mereka juga terpaksa mencarum dengan PERKESO.

“Cadangan potongan gaji ini juga bukan baharu kerana ia sudah dilaksanakan di Korea Selatan dan mereka berjaya mengawal pekerja asing daripada melarikan diri,” katanya.

Terdahulu, Azlaily yang membacakan ucapan Ketua Eksekutif PERKESO, Datuk Seri Dr Mohammed Azman Aziz Mohammed, melancarkan rancangan televisyen 13 episod bertajuk Bangkit #PERKESOPrihatin dan lagi tema Suara Hati.

Rancangan televisyens menerusi program ‘Return to Work’ (RTW) itu mengisahkan mengenai perjalanan pencarum PERKESO yang mengalami kemalangan dan kecacatan anggota badan, namun bangkit semula untuk bekerja demi kelangsungan hidup.

Bangkit #PERKESOPrihatin yang akan disiarkan di saluran Astro Ria pada setiap Jumaat jam 9 malam bermula 21 Disember ini, akan mengetengahkan peranan Pusat Rehabilitasi PERKESO Tun Abdul Razak, dalam membantu pekerja yang hilang arah tuju selepas terbabit kemalangan.

Sejak RTW diperkenalkan pada November 2007, seramai 21,858 pencarum PERKESO yang mengalami bencana kerja atau penyakit pekerjaan, berjaya dipulihkan dan kembali bekerja.

Berita Harian X