Selasa, 18 Disember 2018 | 2:11pm
TIMBALAN Ketua Pegawai Eksekutif Pengurusan Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp), Mohammad Diah Wahari (tengah) dan EXCO Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Alam Sekitar negeri, Datuk Tey Kok Kiew (dua dari kanan) hadir pada majlis pelancaran program Value Food No Waste di Melaka, hari ini. - Foto Noor Azurin Mohd Sharif

Bazir makanan 16,688 tan sehari

MELAKA: Cukup untuk memberi makan 12 juta orang sehari, itu data pembaziran 16,688 tan makanan yang dilakukan rakyat negara ini setiap hari.

Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Pengurusan Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp), Mohammad Diah Wahari, berkata jumlah itu adalah hasil kajian perbadanan berkenaan pada tahun lalu.

“Sisa makanan yang dibazirkan ini mampu memberi makan kepada 12 juta orang untuk tiga kali makan.

“Selain itu, sisa (makanan) yang dihasilkan oleh rakyat negara ini juga meningkat sebanyak 15 hingga 20 peratus pada musim perayaan.

“Sebab itu, SWCorp sedang giat menjalankan pelbagai kempen untuk mendidik masyarakat dalam usaha menghargai makanan, termasuk kempen ‘Value Food No Waste’,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas pelancaran program Value Food No Waste bersama SWCorp yang disempurnakan EXCO Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Alam Sekitar negeri, Datuk Tey Kok Kiew di sebuah hotel, di sini, hari ini.

Yang turut hadir, Pengarah SWCorp negeri, Sharudin Hamid.

Mohammad Diah berkata, pihaknya akan memperluaskan kempen berkenaan dalam usaha mengurangkan kadar pembaziran makanan di negara ini.

“Sebagai langkah permulaan, kita sudah bekerjasama dengan beberapa hotel di setiap negeri.

“Melaluinya (kempen), kita memberi fokus kepada makanan hidangan bufet yang belum disentuh dan masih berada dalam keadaan baik untuk dimakan bagi diagihkan kepada golongan tidak berkemampuan,” katanya.

Beliau juga yakin dengan jumlah hotel yang banyak di negara ini, kempen terbabit dapat digerakkan secara besar-besaran, sekali gus memberi manfaat lebih besar kepada golongan yang memerlukan serta mengurangkan pembaziran.

Berita Harian X