Selasa, 18 Disember 2018 | 2:53pm
IBU pejabat bomba negeri Johor mengibarkan bendera separuh tiang selama tiga hari bermula hari ini. - Foto ihsan bomba

Balai Bomba dan Penyelamat Johor kibar bendera separuh tiang

JOHOR BAHRU: Sebanyak 30 Balai Bomba dan Penyelamat di negeri ini termasuk ibu pejabat bomba negeri mengibarkan bendera separuh tiang selama tiga hari bermula hari ini.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Johor, Datuk Yahaya Madis, berkata kibaran bendera separuh tiang sebagai tanda menghormati pemergian Allahyarham Muhammad Adib Mohd Kassim, 24, yang meninggal dunia, malam tadi.

Menurutnya, selain itu seramai 260 pegawai dan anggota bomba di seluruh Johor akan melakukan solat jenazah ghaib, bacaan Yasin dan tahlil untuk arwah.

“Semua warga kerja JBPM Johor mendoakan roh arwah Mohd Adib dicucuri rahmat dan ditempatkan bersama orang-orang beriman,” katanya dalam satu kenyataan yang dimuat naik di Facebook (FB) rasmi JBPM Johor.

Arwah meninggal dunia pada jam 9.41 malam tadi ketika dirawat di Institut Jantung Negara (IJN) selepas bertarung nyawa selama tiga minggu.

Arwah cedera parah dipukul dalam rusuhan di Kuil Sri Maha Mariamman, USJ 25, Subang Jaya, Selangor.

IJN dalam kenyataan sebelum ini menjelaskan keadaan kesihatan Muhammad Adib semakin merosot dan fungsi paru-parunya mengalami penurunan beransur-ansur sejak 24 jam sebelum itu.

Dalam kejadian awal pagi 27 November lalu, Muhammad Adib yang juga anggota Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Subang Jaya, parah dipercayai dipukul sekumpulan perusuh di hadapan kuil Sri Maha Mariamman.

Dia dimasukkan ke unit jagaan rapi di Pusat Perubatan Ramsay Sime Darby, Subang Jaya, kira-kira jam 1 pagi, sebelum dipindahkan ke IJN, keesokannya.

Berita Harian X