Selasa, 18 Disember 2018 | 2:57pm
NURUL Najihah ditemani oleh bapa Muhammad Adib, Mohd Kassim Abdul Hamid menabur bunga dipusara Muhammad Adib di Tanah Perkuburan Masjid As-Saadah di Kampung Tebengau. - NSTP/Sharul Hafiz Zam

Kita balik cuti sama-sama - tunang Adib

Gambar: Instagram

KUALA LUMPUR: “Esok kita sama-sama cuti untuk balik kampung untuk ‘wedding’ (perkahwinan) kita.”

Itu antara luahan Nurul Najihah Radzi, tunang Muhammad Adib Mohd Kassim, 24, anggota bomba yang meninggal dunia akibat parah dibelasah dalam kejadian rusuhan di kuil Sri Maha Mariamman, USJ25, Subang Jaya, 27 November lalu.

Menerusi status di laman Instagram, nurulnajihah_radzi yang dimuat naik semalam, Nurul Najihah turut memuat naik gambar baju kurung dan baju Melayu kelabu berserta kad jemputan perkahwinan mereka.

“Ya abang, kita balik. Kita balik sama-sama. 18/12/2018 hari kita balik ‘drive’ (memandu), orang balik juga dengan abang tapi abang dalam keadaan kaku.

“Tenang la kamu, setenang orang tengok kamu tadi, ” tulisnya.

Difahamkan Muhammad Adib dan Nurul Najihah akan melangsungkan perkahwinan pada 22 Disember ini di sebelah pihak perempuan di Kedah.

Muhammad Adib disahkan meninggal dunia jam 9.41 malam tadi selepas tiga minggu dirawat di Institut Jantung Negara (IJN).

Jenazah Muhammad Adib dibawa menaiki helikopter milik Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) ke Kampung Tebengau, Kuala Kedah, Kedah, pagi tadi untuk urusan pengebumian.

Berita Harian X