Selasa, 18 Disember 2018 | 3:17pm
JENAZAH Muhammad Adib disembahyangkan di Masjid As-Saadah. - Foto BERNAMA

Jenazah Muhammad Adib selamat dikebumikan

ALOR SETAR: Jenazah anggota bomba, Allahyarham Muhammad Adib Mohd Kassim, selamat dikebumikan di tanah perkuburan Masjid As-Saadah, Kampung Tebengau, Kuala Kedah, di sini kira-kira 1.45 tengah hari tadi.

Pengebumian jenazah turut dihadiri ratusan anggota keluarga, saudara-mara dan penduduk sebagai memberikan penghormatan terakhir kepada Allahyarham.

Suasana hiba menyelubungi upacara itu dengan keadaan cuaca yang sedikit mendung memudahkan urusan pengebumian dijalankan.

Terdahulu, jenazah tiba di padang Sekolah Kebangsaan Tebengau, di sini pada jam 10.29 pagi yang dibawa dengan helikopter milik Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) dari Pangkalan Udara JBPM, Subang, Selangor.

Jenazah kemudian dibawa ke rumah keluarganya di Kampung Tebengau sebelum dibawa ke Masjid As-Saadah yang terletak kira-kira 500 meter dari rumah itu untuk disembahyangkan sebelum dikebumikan sejurus selepas itu.


JENAZAH Muhammad Adib dikebumikan di tanah perkuburan Masjid As-Saadah. - Foto Sharul Hafiz Zam

Allahyarham Muhammad Adib, 24, yang parah dipercayai dipukul ketika insiden di Kuil Sri Maha Mariamman di Subang Jaya bulan lalu disahkan meninggal dunia pada pukul 9.41 malam tadi di Institut Jantung Negara (IJN), Kuala Lumpur.

Turut hadir melawat keluarga dan memberi penghormatan terakhir kepada Allahyarham ialah Ahli Parlimen Sungai Petani, Datuk Johari Abdul; Ketua Setiausaha Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Seri Mohammad Mentek dan barisan kepemimpinan serta anggota JBPM.

Sementara itu, Johari ketika ditemui pemberita selepas pengebumian itu menggesa supaya siasatan berkenaan kematian Muhammad Adib diberi keutamaan oleh polis memandangkan ia kini menjadi buah mulut orang ramai selain menimbulkan pelbagai persepsi.

“Ia bagi memastikan masyarakat yang menantikan perkembangan siasatan itu dapat jawapan mengenai apa sebenarnya yang berlaku kepada Muhammad Adib,” katanya. – BERNAMA


JENAZAH Muhammad Adib dikebumikan di tanah perkuburan Masjid As-Saadah. - Foto Sharul Hafiz Zam

Berita Harian X