Selasa, 18 Disember 2018 | 8:25pm
MENTERI Air, Tanah dan Sumber Asli, Dr A Xavier Jayakumar pada Wacana Sinar bertajuk `Konservasi Air: Dimanakah Malaysia’. - Foto Faiz Anuar

Kenaikan tarif air tak jejaskan B40

SHAH ALAM: Kerajaan memberi jaminan pelaksanaan kenaikan tarif air tidak akan membebankan golongan B40.

Menteri Air, Tanah dan Sumber Asli, Dr A Xavier Jayakumar, berkata ketika ini pihaknya masih membuat kajian bagi mengenal pasti langkah terbaik untuk tujuan itu.

Katanya, ia termasuk mengarahkan Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) ke setiap negeri bagi mengadakan perbincangan bersama kerajaan negeri.

“Kita bincang bagaimana cara untuk lakukan (kenaikan tarif air). Dijangka tahun depan, dalam enam bulan lagi, kita ada gambaran.

“Ada negeri yang sudah 30 tahun, 20 tahun tiada kenaikan tarif air,” katanya pada Wacana Sinar bertajuk `Konservasi Air: Dimanakah Malaysia’.

Wacana yang dikendalikan pengacara Ally Iskandar menampilkan dua panel lain iaitu Ketua Pegawai Eksekutif SPAN, Datuk Mohd Ridhuan Ismail dan Pengarah Eksekutif Kumpulan Malaysia Water Association, Lee Koon Yew.

Terdahulu, pada wacana itu, Xavier berkata, kenaikan tarif air di seluruh negara akan dilakukan pada kadar munasabah.

Katanya, kenaikan berkenaan tidak akan mencapai sehingga 100 atau 200 peratus.

“Jika mahu industri air kita ke hadapan, kita perlu naikkan tarif ini. Jika tidak (naikkan tarif) ia tidak akan membawa perubahan,” katanya.

Pada wacana sama, Naib Presiden PKR itu berkata, kenaikan tarif air di Selangor sudah dibincangkan dan akan dilaksanakan pada tahun depan.

Katanya, tarif baharu itu akan membolehkan syarikat Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) membayar pinjaman mereka berhubung pengambilalihan Syarikat Pengeluar Air Selangor Sdn Bhd (SPLASH) yang dimuktamadkan pada Ogos lalu.

“Kenaikan tarif ini sudah dibincangkan memandangkan tiada sebarang rekod kenaikan tarif sejak 20 tahun lalu.

“Apabila ambil alih (pengambilalihan SPLASH), kena bayar hutang kerana pinjaman besar berbilion ringgit.

“Sebab itu, jika tidak naikkan tarif air, tidak akan dapat bayar balik,” katanya.

Berita Harian X