Selasa, 18 Disember 2018 | 8:27pm
KETUA Pegawai Eksekutif SPAN, Datuk Mohd Ridhuan Ismail - Foto AHMAD IRHAM MOHD NOOR
KETUA Pegawai Eksekutif SPAN, Datuk Mohd Ridhuan Ismail - Foto AHMAD IRHAM MOHD NOOR

Individu negara ini guna 220 liter air sehari - SPAN

SHAH ALAM: Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) akan mewajibkan projek pembangunan baharu menggunakan peralatan cekap air bermula tahun depan selaras usaha kerajaan mengurangkan penggunaan air bagi setiap rakyat kepada 180 liter menjelang 2020.

Ketua Pegawai Eksekutif SPAN, Datuk Mohd Ridhuan Ismail, berkata pihaknya menggalakkan penggunaan produk cekap air seperti sistem simbah air dual dalam pembangunan baharu.

Katanya, ini berikutan penggunaan air dengan menggunakan kaedah berkenaan dapat dikurangkan tanpa menjejaskan perkhidmatan yang dinikmati rakyat.

“Terdapat tiga kategori produk cekap air iaitu satu, dua serta tiga bintang dan mereka boleh pilih yang mana mereka mahu guna,” katanya pada Wacana Sinar bertajuk `Konservasi Air: Dimanakah Malaysia’ di Kompleks Kumpulan Media Karangkraf, di sini, hari ini.

Wacana yang dikendalikan pengacara Ally Iskandar menampilkan dua panel lain iaitu Menteri Air, Tanah dan Sumber Asli, Dr A Xavier Jayakumar dan Pengarah Eksekutif Kumpulan Malaysia Water Association, Lee Koon Yew.

Mohd Ridhuan berkata, SPAN akan terus mempromosi penggunaan produk cekap air bagi mengurangkan penggunaan air di negara ini.

Katanya, ketika ini rakyat Malaysia menggunakan kira-kira 220 liter air sehari dan ia agak tinggi berbanding negara lain.

“Kementerian Air, Tanah dan Sumber Asli juga meletakkan sasaran bahawa kadar penggunaan air individu perlu diturunkan kepada 180 liter menjelang 2020.

“Sudah pasti sukar untuk menurunkan kadar penggunaan air, Bagaimanapun, kadar 180 liter adalah sasaran yang boleh dicapai dan kini SPAN terus giat melaksanakan program untuk memberi pendedahan kepada masyarakat mengenai produk cekap air,” katanya.

Beliau berkata, terdapat lima jenis produk cekap air melalui Skim Pelabelan Produk Cekap Air (SPPCA) iaitu paip air, peralatan tandas, urinal, pancuran mandi dan mesin basuh.

Berita Harian X