Rabu, 19 Disember 2018 | 12:11pm
GAMBAR fail, Sultan Kedah, Sultan Sallehuddin Ibni Almarhum Sultan Badlishah meninggalkan Institut Jantung Negara (IJN) ketika melawat anggota Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Subang Jaya, Muhammad Adib Mohd Kassim, bulan lalu. - Foto Eizairi Shamsudin

Sultan, Sultanah Kedah zahir ucapan takziah kepada keluarga Adib

ALOR SETAR: Sultan Kedah Al Aminul Karim Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah dan Sultanah Kedah Sultanah Maliha Tengku Ariff menzahirkan ucapan takziah kepada keluarga Allahyarham Muhammad Adib Mohd Kassim, 24, atas pemergiannya kelmarin.

Setiausaha Sulit kepada Sultan Kedah Kol (K), Datuk Elmi Yusoff, berkata baginda berdua amat berdukacita dan terharu atas pemergian Allahyarham dan mengharapkan keluarga anggota bomba itu tabah menghadapi ujian berkenaan.

“Baginda Tuanku Sultan Kedah berdoa ke hadrat Allah SWT mencucuri rahmat ke atas roh Allahyarham dan ditempatkan bersama golongan yang beriman,” katanya kepada Bernama hari ini.

Elmi berkata, Sultan Sallehuddin turut mengambil kesempatan menzahirkan ucapan penghargaan dan terima kasih atas jasa bakti serta sumbangan Allahyarham semasa berkhidmat di Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM).

Jenazah Muhammad Adib selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kariah Masjid As-Saadah di Kampung Tebengau, Kuala Kedah dekat sini kira-kira 1.45 tengah hari semalam.

Muhammad Adib yang bertugas sebagai anggota Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Subang Jaya disahkan meninggal dunia di Institut Jantung Negara (IJN) pada pukul 9.41 malam selepas dipercayai dipukul dalam insiden rusuhan di Kuil Sri Maha Mariamman di Subang Jaya pada 27 November lepas. – BERNAMA

Berita Harian X