Khamis, 20 Disember 2018 | 2:46pm
SYED Saddiq. - NSTP/Mohd Fadli Hamzah

Syed Saddiq bukan dalang, hanya pemudah cara serah memorandum

KUALA LUMPUR: Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman bukan dalang dalam penyerahan memorandum oleh sekumpulan anak muda bagi mendesak Menteri di Jabatan Perdana Menteri, P Waytha Moorthy meletak jawatan.

Difahamkan, Syed Saddiq bersama tiga lagi EXCO Angkatan Bersatu Anak Muda (ARMADA) Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) ketika penyerahan memorandum itu di Pejabat Perdana Menteri, semalam.

Sumber memberitahu NSTP, Syed Saddiq selaku Ketua ARMADA bertaraf menteri hanya menjadi ‘pemudah cara’ bagi beberapa rakannya untuk menghantar terus memorandum berkenaan kepada Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

“Kalau Syed Saddiq tiada, tak boleh masuk (Pejabat Perdana Menteri).

“(Jadi) Beliau ‘seludup’ kami naik kereta untuk masuk PMO (Pejabat Perdana Menteri),” katanya hari ini.

Beliau mengulas kenyataan Timbalan Ketua Menteri II Pulau Pinang, P Ramasamy yang menyelar ARMADA, diketuai Syed Saddiq susulan tuntutan sayap pemuda BERSATU itu supaya Waytha Moorty berundur sebagai menteri.

NSTP difahamkan, penyerahan memorandum kepada Perdana Menteri diadakan semalam, secara senyap tanpa menguar-uarkan kepada umum khususnya pihak media.

Penyerahan memorandum itu antara desakan dan tuntutan selepas Waytha Moorthy dikatakan gagal meredakan ketegangan kaum dalam insiden kekecohan di kuil Sri Maha Mariamman, Seafield dekat Subang Jaya.

Waytha Moorthy turut menyalahkan polis selain masih belum mengemukakan permohonan maaf berhubung video lama tular apabila mendakwa kaum India didiskriminasi di negara ini.

Berita Harian X