Khamis, 20 Disember 2018 | 3:42pm
DR Afif Bahardin. - NSTP/Shahnaz Fazlie Shahrizal

Dr Afif tetap mahu Waytha Moorthy letak jawatan

BALIK PULAU: EXCO Pulau Pinang, Dr Afif Bahardin hari ini mengulangi kenyataannya yang mahu Menteri di Jabatan Perdana Menteri, P Waytha Moorthy, meletakkan jawatan susulan kematian anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Muhammad Adib Mohd Kassim.

Dr Afif yang juga Timbalan Ketua Cabang PKR Permatang Pauh berkata, kenyataannya itu bagaimanapun tidak bersifat peribadi dan ia adalah satu cadangan yang perlu dipertimbangkan Waytha Moorthy.

“Saya komen bukan atas peribadi tetapi pada pendapat saya, sebagai seorang menteri yang memegang portfolio perpaduan, beliau sepatutnya mempertahankan keharmonian negara, malangnya ia tidak berlaku.

“Waytha Moorthy perlu ingat, beliau adalah menteri dan bukan pembangkang. Ada orang perlu bertanggungjawab (dalam perkara ini),” katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Dr Afif antara pemimpin Pakatan Harapan (PH) terawal yang menyuarakan hasrat supaya Waytha Moorthy meletakkan jawatan, berikutan kematian Muhammad Adib pada Isnin lalu.

Dr Afif dilaporkan menyatakan desakan itu menerusi laman sosial Twitter, semalam.

Sementara itu, Dr Afif berkata, beliau yakin kerajaan masih berusaha sedaya upaya untuk mentadbir dengan baik, dalam usaha memenuhi aspirasi rakyat.

Katanya, kerajaan juga memerlukan masa untuk membetulkan kesilapan sistem yang sudah diguna pakai sejak 60 tahun lalu.

“Saya nampak mereka (kerajaan Pusat) komited bekerja. Malah sekarang ini, akses terhadap menteri juga adalah lebih mudah melalui media sosial,” katanya.

Beliau berkata demikian mengulas kenyataan bekas Naib Presiden PKR, Rafizi Ramli yang mahu kepemimpinan PH kembali ke ‘pangkal jalan’ dengan berusaha melunaskan pelbagai janji pilihan raya.

Rafizi berkata, tindakan PH yang sibuk memperkukuhkan cengkaman penguasaan kerusi di Parlimen menyebabkan masyarakat ‘menyampah’, terutama dengan siri gelombang Ahli Parlimen UMNO yang ‘lompat’ parti untuk menyertai blok kerajaan.

Berita Harian X