Khamis, 20 Disember 2018 | 8:26pm
YANG Dipertua Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM), Nik Omar Nik Abdul Aziz (kanan) dan timbalannya, Zolkharnain Abidin memulakan tugas mereka hari ini di Putrajaya. - Foto Ihsan YADIM

Nik Omar mulakan tugas sebagai Yang Dipertua YADIM

PUTRAJAYA: Yang Dipertua Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM) yang baharu, Nik Omar Nik Abdul Aziz memulakan tugasnya secara rasmi, hari ini, bersama dengan Timbalan Yang Dipertua YADIM, Zolkharnain Abidin.

Kedua-dua mereka tiba di ibu pejabat YADIM di sini, pada jam 9.45 pagi dengan disambut barisan kepemimpinan YADIM sebelum mengetip kad perakam waktu untuk kali pertama.

Mereka kemudian diberikan taklimat oleh Pengurus Besar Pengurusan dan Kewangan YADIM, Redhaudin Kamaruzaman dan Pengurus Besar Operasi YADIM, Mohd Fuad Samsudin.

Nik Omar adalah Yang Dipertua YADIM yang ke-13 sejak badan dakwah itu ditubuhkan pada 1974, bagi menggantikan Dr Yusri Mohamad yang menamatkan tempoh jawatannya pada 31 Oktober lalu.

Pelantikan Nik Omar yang juga anak kepada bekas Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat dan Zolkharnain diumumkan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Agama), Datuk Seri Dr Mujahid Yusuf pada 14 Disember lalu, mengikut Klausa 8(c) Perlembagaan YADIM yang memberi kuasa pelantikan Yang Dipertua YADIM serta timbalannya kepada keputusan Perdana Menteri.

Berita Harian X