Jumaat, 21 Disember 2018 | 12:12pm
Ketua ARMADA Perak, Mohd Hafez Mubin Mohd Salleh. - Foto peraktoday
Ketua ARMADA Perak, Mohd Hafez Mubin Mohd Salleh. - Foto peraktoday

Tuduhan Ramasamy terhadap ARMADA melampau

IPOH: Kenyataan Timbalan Ketua Menteri II Pulau Pinang, Dr P Ramasamy yang mendesak Ketua Angkatan Bersatu Anak Muda (ARMADA) Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU), Syed Saddiq Syed Abdul Rahman diambil tindakan atas alasan mempersoal dan ‘menghina’ keputusan Tun Dr Mahathir Mohamad berhubung isu Menteri di Jabatan Perdana Menteri, P Waytha Moorthy disifatkan sebagai melampau dan tak berasas.

Ketua ARMADA Perak, Mohd Hafez Mubin Mohd Salleh, berkata penyerahan memorandum bukanlah sesuatu yang melambangkan rasa tidak hormat, tetapi ia adalah cara untuk menyampaikan permintaan atau cadangan kepada pihak yang sewajarnya

“Penyerahan memorandum menggesa peletakan jawatan Waytha Moorthy oleh ARMADA BERSATU kepada Perdana Menteri, bertujuan menzahirkan pendirian ARMADA berhubung perkara itu kepada beliau.

“Pastinya ARMADA BERSATU menaruh harapan tinggi supaya permintaan ini menjadi kenyataan namun jika sebaliknya, kami tetap akur dan patuh berhubung sebarang keputusan yang dibuat oleh Perdana Menteri,” katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan hari ini.

Ramasamy yang juga Ahli Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC) DAP, sebelum ini menyifatkan tindakan Syed Saddiq ‘menghina’ kebijaksanaan Perdana Menteri dalam menentukan barisan Kabinetnya selepas didakwa turut menyokong desakan supaya Waytha Moorthy berundur sebagai Menteri di Jabatan Perdana Menteri.

Mohd Hafez berkata, ARMADA Perak juga menegur sikap Ramasamy yang dilihat mengamalkan sikap pilih kasih dalam menyuarakan pendapat berhubung isu yang diutarakan.

Katanya, pada 2 Julai lalu, Ketua Pemuda Sosialis DAP (DAPSY), Malaysia, Wong Kah Woh pernah melakukan tindakan yang lebih serius iaitu mempertikai dan mengecam keputusan Perdana Menteri secara terbuka dengan mempertikai pelantikan Menteri Kabinet yang dibuat tanpa mengikut bilangan kerusi yang dimenangi sesebuah parti.

“Mengapa pada ketika itu, Ramasamy tidak bersuara dan mendesak kepemimpinan parti mengambil tindakan berhubung perbuatan ini? Tidakkah beliau beranggapan bahawa perbuatan ini turut ‘menghina’ kebijaksanaan Perdana Menteri dalam membuat keputusan?

“Sewajarnya Ramasamy membuat kajian terlebih dahulu dan perlu lebih berhati-hati sebelum mengeluarkan apa juga kenyataan selepas ini,” katanya.

Beliau berkata, adalah menjadi tanggungjawab semua pihak untuk sama-sama memelihara hubungan erat yang terjalin kukuh di antara parti gabungan dalam Pakatan Harapan seterusnya menggalas amanah yang diberi oleh rakyat dengan sebaiknya.

Kabinet Malaysia 2020

Berita Harian X