Jumaat, 21 Disember 2018 | 12:17pm
Penulis blog The Scribe, Datuk A Kadir Jasin.

Eloklah Waytha Moorty letak jawatan sebagai menteri - Kadir Jasin

KUALA LUMPUR: Pengerusi Barisan Bertindak Hak Asasi Hindu (HINDRAF), P Waytha Moorthy perlu berundur sebagai Menteri di Jabatan Perdana Menteri kerana hilang kelayakan menjaga perpaduan nasional.

Desakan itu dibuat penulis blog The Scribe, Datuk A Kadir Jasin apabila bersetuju dengan sentimen umum bahawa Waytha Moorthy sudah hilang kelayakan selepas ‘perbuatannya’ yang ‘berjaya’ memecahbelahkan masyarakat.

Beliau berkata, Waytha Moorthy sudah menjadi ‘liabiliti’ kepada Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dan dinasihatkan untuk meletak jawatan secara sukarela.

“Saya setuju dengan sentimen umum bahawa Waytha Moorthy hilang kelayakan dan kedudukan untuk terus menjadi menteri apatah lagi menteri yang menjaga perpaduan nasional.

“Beliau menjadi watak yang memecahbelahkan (divisive). Eloklah beliau menarik diri secara sukarela daripada membebankan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, walaupun Tun berkata beliau ‘puas hati’ dengan Moorthy.

“Minta maaflah kalau saya kata, Moorthy sudah diberi peluang dan penghormatan amat tinggi menjadi anggota Kabinet tetapi mensia-siakannya,” katanya dalam entri terbaru di The Scribe, hari ini.

Dalam kejadian awal pagi 27 November lalu, Muhammad Adib Mohd Kassim yang juga anggota Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Subang Jaya, parah dipercayai dipukul sekumpulan perusuh di hadapan kuil Sri Maha Mariamman, USJ 25, Subang Jaya.

Dia dimasukkan ke unit jagaan rapi di Pusat Perubatan Ramsay Sime Darby, Subang Jaya, kira-kira 1 pagi, sebelum dipindahkan ke IJN, Kuala Lumpur, pada keesokan malamnya.

Pada 17 Disember lalu, disahkan meninggal dunia di Institut Jantung Negara (IJN) pada jam 9.41 malam.

Susulan kematian Muhammad Adib ketika sedang menjalankan tugas, Kadir menggesa tidak kira bangsa atau agama, si pelaku wajib diburu dan dijatuhi hukuman yang setimpal.

Katanya, punca tragedi bukan kesilapan Muhammad Adib yang tersalah memilih kerja, tetapi tragisnya adalah dia dibunuh ketika bertugas menyelamatkan nyawa serta harta benda dalam satu rusuhan ganas.

“Kita boleh terus membakar emosi kita dan jika kita orang yang tidak bertanggungjawab, kita juga boleh mengapi-apikan emosi orang lain atas nama Almarhum Adib.

“Tetapi, adakah itu yang kita mahu dan lebih-lebih lagi adakah itu yang Almarhum Adib mahu apabila dia memilih untuk menjadi anggota bomba dan penyelamat?

“Dalam apa pun pekerjaan yang kita pilih, mesti ada unsur risiko. Kalau tidak banyak, sikit mesti ada. Pasti Almarhum Adib tahu risikonya,” katanya.

Kadir juga menyarankan keluarga Allahyarham Muhammad Adib dibantu.

Berita Harian X