Sabtu, 22 Disember 2018 | 3:10pm
Menteri Kewangan, Lim Guan Eng (tengah) bersama Saifuddin (dua dari kanan) melihat proses pembuatan di Central Kitchen Mutiara Food Bank ketika hadir pada majlis pelancaran Program Food Bank di Kompleks Masyarakat Penyayang Pulau Pinang, Georgetown. - NSTP/Danial Saad

RUU Food Bank dijangka dibentang akhir tahun depan

GEORGETOWN: Rang Undang-Undang (RUU) berkaitan program Food Bank kendalian Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) dijangka dibentang di Dewan Rakyat menjelang hujung tahun depan.

Menterinya, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, berkata ia bagi membolehkan proses penggubalan akta bersesuaian dibuat secara menyeluruh bagi melindungi pihak penyumbang dan penerima.

Selain itu, katanya, undang-undang khas bagi program berkenaan akan mengadaptasi langkah digunakan beberapa negara luar yang lebih awal melaksanakan program sedemikian dengan ia akan disesuaikan dengan keperluan negara.

“Ia akan dilaksanakan di seluruh negara mulai Januari 2019 dan akan menjadi program rasmi KPDNHEP, selain berharap di akhir perjalanannya akan ada undang-undang untuk mengawal aktiviti menyelamat dan pengagihan lebihan makanan daripada penyumbang kepada penerima.

“Ia (undang-undang khas) akan beri nilai tambah kepada program ini dengan penggubalannya akan mengambil pengalaman negara luar yang perlu disesuaikan dengan acuan tempatan, antaranya makanan halal dari dapur.

“Makanan halal boleh dinikmati semua pihak dan ia sensitif dalam konteks (negara) kita. Seterusnya, kita akan mendapatkan komen jabatan lain sebelum ia diserahkan kepada Jabatan Peguam Negara.

“Ia akan merangkumi semua aspek, termasuklah kebimbangan penyumbang jenama antarabangsa yang risau berdepan tindakan undang-undang atau seumpamanya, jika pengguna akhir mengalami masalah daripada kecacatan lebihan makanan mereka,” katanya pada sidang media pelancaran Program Food Bank di sini, hari ini.

Program berkenaan akan menyalurkan lebihan makanan daripada penyumbang kepada golongan sasar, termasuklah isi rumah berpendapatan rendah (B40), sekali gus muncul sebagai langkah menangani isu pembaziran.

Beliau berkata, penyediaan pusat pengumpulan lebihan makanan akan tertumpu di kawasan bandar bagi memastikan tempoh untuk menyelamat bahan itu dapat dilakukan dalam tempoh ditetapkan, sekali gus menjamin kualitinya.

“Isu berbangkit sebenarnya adalah pengedaran kepada golongan sasar, tetapi ia boleh diatasi dengan mudah sekiranya proses pengumpulannya memenuhi standard ditetapkan.

“Ia boleh dipanaskan semula dan dipek sebelum dihantar kepada golongan sasar secara harian bagi 365 hari setahun. Pengagihannya akan dibuat sukarelawan,” katanya yang juga Ahli Parlimen Kulim-Bandar Bharu.

Dalam perkembangan lain, katanya, siasatan berkaitan kartel telur ayam kini dijalankan Suruhanjaya Persaingan Malaysia (MyCC) dengan laporan mengenainya akan diberikan dari semasa ke semasa.

“Siasatan ini akan mengenal pasti sama ada wujud elemen kartel dalam perniagaan telur ayam, elemen pembahagian kawasan atau manipulasi lain dengan ia di bawah bidang kuasa MyCC,” katanya.

Berita Harian X