Sabtu, 22 Disember 2018 | 8:05pm
LIM Kit Siang - Foto fail MUHAMMAD HATIM AB MANAN

Pemimpin PH perlu henti serangan terbuka - Kit Siang

KUALA LUMPUR: Pemimpin Pakatan Harapan (PH) diminta menghentikan serangan terbuka terhadap rakan seperjuangan dalam barisan kepemimpinan demi menjaga hubungan dan keharmonian antara parti komponen gabungan itu.

Penasihat DAP, Lim Kit Siang, berkata walaupun sekatan ke atas kebebasan bersuara ini tidak memberi gambaran masyarakat demokratik, namun ia perlu dihindari demi menjaga perpaduan serta memastikan tidak berlaku pecah belah.

Beliau turut bersetuju dengan pandangan Ketua Dasar dan Strategi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU), Datuk Rais Hussin Mohamed Ariff, yang berpendapat situasi seperti ini hanya membawa kepada persepsi negatif dan kesan buruk terhadap PH.

“Kebebasan bersuara sering menjadi asas kepada negara dalam mengecapi demokrasi dan tiada siapa suka ia disekat.

“Namun ia juga adalah penting bagi kita memastikan dalam usaha mengekalkan perpaduan itu, PH tidak mahu unsur seperti ini dicemari dan menjadi tidak terkawal,” katanya menerusi entri yang dimuat naik dalam blognya.

Ahli Parlimen Iskandar Puteri, itu juga mahu pemimpin PH mematuhi prosedur operasi standard (SOP) sebelum membuat kritikan atau serangan terhadap rakan seperjuangan.

“Pemimpin PH perlu terlebih dulu berbincang dengan parti atau mendapatkan persetujuan bersama sebelum membuat sebarang serangan.

“Sekiranya mereka masih tidak berpuas hati dengan SOP ini, Majlis Presiden PH perlu mencari jalan bagi menghasilkan satu mekanisme yang boleh diguna pakai pemimpin PH meluahkan rasa tidak puas hati terhadap prestasi pemimpin PH yang lain.

“Ini penting supaya objektif PH untuk membina Malaysia Baharu tidak ada kompromi,” katanya.

Sebelum ini, desakan Ketua Angkatan Bersatu Anak Muda (ARMADA) BERSATU, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman supaya Menteri di Jabatan Perdana Menteri, P Waytha Moorthy meletak jawatan, mendapat kritikan beberapa pemimpin PH.

Berita Harian X