Ahad, 23 Disember 2018 | 2:45pm
MENTERI Kewangan, Lim Guan Eng. - Foto Asyraf Hamzah

Kutipan terkini THM RM199.14j

PUTRAJAYA: Jumlah terkumpul Tabung Harapan Malaysia (THM) setakat jam 9 pagi tadi adalah sebanyak RM199.14 juta.

Menteri Kewangan, Lim Guan Eng, berkata Jabatan Audit Negara akan mengaudit Penyata Penerimaan dan Bayaran Akaun THM bagi memastikan pengurusan THM dibuat secara teratur dan berintegriti.

“Pelantikan firma audit luaran oleh Kementerian Kewangan bagi tujuan mengaudit akaun THM juga dibuat selaras dengan Seksyen 7 Akta Audit 1957.

“Semua pihak yang ingin membuat sumbangan diminta memasukkan wang atau cek secepat mungkin menjelang penutupan THM pada 31 Disember ini dan potongan cukai akan diberikan kepada setiap sumbangan THM untuk 2019,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Beliau berkata kerajaan akan memastikan sumbangan yang diberikan ini akan digunakan untuk melangsaikan hutang negara.

“Walaupun nilai hutang negara mencecah RM1 trilion jauh berbanding hasil kutipan THM, kerajaan sangat menghargai solidariti rakyat Malaysia dalam usaha menangani isu hutang negara ini dan diharap semangat ini tidak luntur dan dapat dikekalkan selama-lamanya,” katanya.

Katanya, selaras dengan penutupan rasmi THM yang akan berkuatkuasa pada 31 Disember ini, kerajaan ingin merakamkan setinggi-tinggi ucapan penghargaan dan terima kasih kepada semua rakyat Malaysia yang memberikan sumbangan sepanjang tujuh bulan ia ditubuhkan.

“Sumbangan ini adalah hasil daripada inisiatif orang perseorangan, organisasi, badan bukan kerajaan (NGO) serta faedah daripada pelaburan simpanan tetap yang ditadbir oleh Jabatan Akauntan Negara.

“Kerajaan amat menghargai setiap sen yang didermakan. Ini menunjukkan rakyat amat prihatin dan bersatu hati dalam membantu kerajaan bersama-sama melangsaikan hutang negara. Semangat yang ditunjukkan ini adalah simbol taat setia dan patriotisme rakyat Malaysia yang perlu dikekalkan.

“Kerajaan juga turut merafak sembah dan setinggi-tinggi penghargaan kepada Yang di-Pertuan Agong, Sultan Muhammad V atas sumbangan baginda kepada THM,” katanya.

Tabung Harapan ditubuhkan oleh kerajaan Pakatan Harapan pada 30 Mei lalu untuk menerima wang derma dan sumbangan daripada mana-mana orang perseorangan dan syarikat bagi membantu kerajaan menangani isu hutang negara.

Orang ramai boleh menyalurkan sumbangan mereka menerusi akaun Maybank 566010626452 dalam bentuk mata wang Ringgit.

Berita Harian X