Ahad, 23 Disember 2018 | 4:34pm
MENTERI Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Salahuddin Ayub hadir di Majlis Perasmian Karnival Mega Agro Parlimen Tampin di Gemas, hari ini. - Foto BERNAMA
MENTERI Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Salahuddin Ayub hadir di Majlis Perasmian Karnival Mega Agro Parlimen Tampin di Gemas, hari ini. - Foto BERNAMA

Hala tuju baharu pastikan bekalan makanan negara mencukupi

GEMAS: Kerajaan menggalakkan lebih banyak usaha sama antara pengusaha daging tempatan dan pelabur asing bagi meningkatkan pengeluaran daging negara.

Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Salahuddin Ayub, berkata ketika ini pengeluaran daging tempatan hanya dapat memenuhi 24 peratus permintaan tempatan dan selebihnya terpaksa diimport.

Katanya, negara terpaksa mengimport lebih 70 peratus bekalan daging bagi memastikan bekalan dalam negara mencukupi.

“Untuk lima tahun akan datang, kementerian menggalakkan semua pemain industri tempatan untuk melakukan usaha sama dengan pelabur asing supaya industri daging negara dapat bergerak dengan lebih pantas.

“Ini adalah lebih baik daripada mengimport daging dengan jumlah yang besar,” katanya ketika berucap di Majlis Perasmian Karnival Mega Agro Parlimen Tampin di sini, hari ini.

Turut hadir Ahli Parlimen Tampin, Datuk Dr Hasan Bahrom dan Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Pertanian dan Industri Asas Tani negeri, Bakri Sawir.

Salahuddin berkata, usaha itu adalah antara perkara utama yang digariskan di bawah hala tuju baharu kementeriannya yang dijangka dilancarkan pada awal tahun hadapan.

“Hala tuju baharu kementerian ini dirancang bagi memastikan kita dapat memandu kementerian, jabatan dan agensi supaya semua pemain dalam sektor pertanian ditingkatkan. Hasrat saya untuk memastikan bekalan makanan cukup (untuk keperluan rakyat),” katanya.

Salahuddin berkata, antara perkara yang akan ditekankan di bawah hala tuju baharu itu termasuklah memastikan produk pertanian khususnya membabitkan pesawah padi dan sektor pertanian lain yang dapat meningkatkan pendapatan isi rumah negara.

“Makanan ruji adalah beras, untuk itu kita (perlu) meningkatkan industri padi dan beras negara supaya bekalan cukup setiap masa.

“Kita akan pastikan bekalan cukup, adalah menjadi kewajipan kementerian untuk mengimport barang-barang makanan jika tidak mencukupi,” katanya.

Selain itu, di bawah hala tuju baharu ini, kementerian berkenaan mensasarkan pengeluaran buah-buahan dan sayur-sayuran yang berkualiti dapat dipertingkat untuk dieksport serta berharap hasil tangkapan laut juga dapat diperbanyakkan tanpa berlaku penyelewengan bagi memastikan rakyat dapat membeli hasil laut dengan harga berpatutan.

“Kita bagi 1,000 lesen vesel laut dalam melalui kerajaan lalu, tetapi banyak perkara tidak betul berlaku seperti menjual hasil laut di tengah laut,” katanya.

Salahuddin berkata, di bawah hala tuju baharu ini juga pihaknya akan mengarahkan Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) untuk mewujudkan satu hipermarket yang memasarkan barang-barang hasil tani dan keluaran pengusaha tempatan.

Berita Harian X