Khamis, 27 Disember 2018 | 2:29pm
- Foto hiasan

Malaysia tidak import tepung protein darah babi

PUTRAJAYA: Jabatan Perkhidmatan Veterinar (DVS) memaklumkan Malaysia tidak mengimport tepung protein darah babi dari China untuk kegunaan memproses makanan haiwan di negara ini.

Ketua Pengarahnya, Datuk Dr Quaza Nizamuddin Hassan Nizam berkata jabatan berkenaan sudah mengeluarkan arahan larangan pengimportan babi hidup atau produk sejuk beku sejak 18 September lalu berikutan penularan penyakit African Swine Fever (ASF).

“DVS ingin merujuk kepada laporan akhbar The Asian Age yang bertarikh 25 Disember lalu yang menyatakan pihak berkuasa China mengesan virus AFS dalam tepung protein yang dihasilkan daripada darah babi.

“Saya ingin jelaskan Malaysia tidak mengimport tepung protein berkenaan, malah sudah mengeluarkan arahan larangan pengimportan sebarang produk babi sama ada yang hidup atau sejuk beku,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Sebelum ini, Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Sim Tze Tzin, dalam satu sidang media berkata, Malaysia akan menghentikan buat sementara waktu pengimportan segala jenis produk berasaskan babi dari enam negara bagi mengawal risiko penyakit ASF.

Enam negara berkenaan termasuk China, Poland, Russia, Moldova, Ukraine dan Hungary.

Selain pengimportan babi, Tze Tzin turut meminta jabatan yang berkaitan untuk mengawal ketat kemasukan barangan yang dibawa pelancong dari negara yang dijangkiti ASF.

Berita Harian X