Jumaat, 28 Disember 2018 | 1:06pm

BERSATU bukan 'kem pelarian' bekas pemimpin UMNO berlindung

Setelah lebih enam bulan memimpin kerajaan Pakatan Harapan (PH), Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) mula mencorak perjuangan masa depannya. Melalui Perhimpunan Agung Tahunan kedua yang bermula hari ini, ia mahu memantapkan sistem pentabiran dan mendengar suara akar umbi.

Wartawan NSTP, SITI NUR MAS ERAH AMRAN bersama media tempatan menemubual Presiden BERSATU, Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk menjelas lanjut.

S: Agenda utama yang bakal dibentangkan kali ini?

J: Fokus tertumpu kepada perwakilan yang akan membahaskan ucapan dasar yang bakal disampaikan oleh Pengerusi, Tun Dr Mahathir Mohamad. Antara isu yang akan disentuh adalah bagaimana mahu mengukuhkan kedudukan serta menilai penerimaan rakyat terhadap parti yang turut memainkan peranan dalam pentadbiran kerajaan Pakatan Harapan (PH).

S: Mesej yang akan diterapkan dalam perhimpunan?

J: Kerjasama antara pemimpin dan ahli perlu lebih akrab dan persefahaman antara komponen parti lain perlu ditingkatkan. Ini bertujuan untuk memudahkan kita bekerja sebagai satu pasukan supaya dapat membantu kerajaan melaksanakan agenda yang terkandung dalam Manifesto PH, cadangan transformasi dan reformasi dalam pentadbiran kerajaan di peringkat Parlimen, penggubalan undang-undang baharu dan pemansuhan undang-undang lama. Kita kena bekerjasama mencari jalan bagaimana untuk pulihkan ekonomi negara sekali gus mengukuhkan kembali sistem kewangan di samping membantu mengurangkan bebanan kos sara hidup yang ditanggung rakyat. Perwakilan diingatkan bahawa mereka mewakili suara rakyat yang hari ini menuntut kerajaan menyelesaikan isu ‘bread and butter’ membabitkan kos sara hidup, kenaikan harga barang, kurangnya bantuan dan subsidi, penurunan harga bahan komoditi utama getah dan kelapa sawit serta masalah yang dihadapi peneroka. Kita akan bincang apakah langkah dan tindakan yang boleh diambil parti untuk menangani isu-isu terbabit.

S: Ada suara melabel perhimpunan ini umpama UMNO 2.0?

J: Perlembagaan dan dasar perjuangan parti sudah dijelaskan, tidak ada kena mengena dengan UMNO. Bagaimanapun, saya, Dr Mahathir dan Timbalan Presiden, Datuk Seri Mukhriz Mahathir adalah bekas UMNO, tetapi kita sudah berhijrah dan meninggalkan perjuangan lampau, lapuk dan tidak memenuhi tuntutan asal UMNO yang kononnya ingin membela nasib bangsa, agama dan negara. Penghijrahan kita adalah perjuangan baharu menerusi pembentukan BERSATU, tetapi asasnya kukuh kerana sebahagian besarnya sudah berpengalaman, tahu apa masalah dan kelemahan.

Ramai mula sedar dan insaf bahawa perjuangan mereka dalam UMNO mungkin tidak boleh dipertahankan. Mereka menyatakan hasrat untuk sertai kita, bukan untuk memegang jawatan apa-apa, sebaliknya hanya ingin bersama dengan saf baharu yang dibentuk. Kita amalkan dasar terbuka dan sesiapa saja yang boleh mematuhi perlembagaan parti, setia kepada pemimpin dan sanggup berjuang untuk menjadikan Malaysia lebih baik, silakan. Kita tidak bimbang orang ‘cop’ apa pun, kerana akhirnya mereka sedar kita berjuang untuk negara.

S: Cubaan segelintir pemimpin UMNO keluar parti dan sertai BERSATU untuk mencari tempat perlindungan?

J: Takkan terselamat. Kalau masuk BERSATU pun, mereka akan dikenakan tindakan. Bagi saya, itu satu kesilapan besar kerana parti ini bukan kem pelarian untuk mereka berlindung. Kita sudah jelaskan bahawa mana-mana bekas pemimpin UMNO yang ingin menyertai, mestilah menjalani proses saringan dengan kerjasama agensi antaranya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM). Jika ada yang terpalit dengan isu rasuah, kita berhak untuk menolak permohonan mereka. Lebih baik kita utamakan pemohon yang tidak melakukan kesalahan.

S: Kemasukan bekas pemimpin UMNO menimbulkan rasa kurang senang parti komponen PH?

J: Kurang senang itu biasalah. Ada ‘cemburu’ dalam kalangan kita. Walau bagaimanapun, saya juga ada dengar Penasihat DAP, Lim Kit Siang, berkata pemimpin UMNO nak masuk DAP pun boleh, Presiden Parti Amanah Negara (AMANAH), Mohamad Sabu pun ada ajak juga. Selain itu, ada rakan PKR yang cuba tarik orang UMNO sertai mereka, walaupun mereka sudah tegaskan takkan terima bekas UMNO sebagai ahli. Dalam konteks besar, ini bukan soal BERSATU semata-mata. Ini soal pakatan. Kalau pemohon memenuhi kriteria ditetapkan dan layak, saya fikir tidak wajar kita ketepikan mereka. Penyertaan mereka boleh menambah kekuatan kita. Siapa kata BERSATU kuat? Kami tidak kuat lagi, perlu diperkukuhkan lagi. Sememangnya akan jadi persaingan kerana Dr Mahathir dalam BERSATU, Datuk Seri Anwar Ibrahim (PKR) akan rasa tercabar, namun ini adalah politik dan kita sudah mengikat persefahaman antara satu sama lain. Kita kena lihat dalam konteks positif.

S: Akan bincang isu pemimpin pelapis masa depan?

J: Tak perlu bincang sebab ia sedang berlaku sekarang. Saya dan Dr Mahathir sudah berusia, namun kita ada ramai pemimpin muda dalam Srikandi dan Angkatan Bersatu Anak Muda (ARMADA). Sebagai contoh, kita ada Ketua ARMADA, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman dan ramai lagi pelapis belia. Saya tidak risau sangat, namun mereka amat penting supaya parti sentiasa dapat menjana tenaga baharu. Bila sampai masa, saya dan Dr Mahathir akan berundur, anak muda akan ambil alih.

S: Bagaimana BERSATU main peranan dalam menjadi tulang belakang PH?

J: BERSATU masih baharu kalau hendak dibandingkan dengan PKR yang. sudah ditubuhkan lebih 20 tahun. Kita perlu realistik, tetapi paling penting kena perkukuhkan kedudukan menerusi pertambahan ahli. Ini yang sedang kita lakukan sekarang secara berterusan supaya sokongan meningkat di samping memperbaiki sistem pentadbiran keahlian yang lebih cepat dan efisien. Selain itu, perkasakan asas perjuangan iaitu menyuarakan isu-isu rakyat, supaya mereka yakin kita dapat membawa pembaharuan.

S: Ketua ARMADA, Syed Saddiq dilihat terlalu lantang dalam menyuarakan pandangan, sebagai contoh mahu

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, P Waytha Moorthy letak jawatan. Adakah suara lantang sebegini yang dimahukan dalam BERSATU?

J: Kita bukan parti bersifat autokratik atau diktator kerana kita ada tokoh pemimpin muda yang memiliki aspirasi. Asalkan tidak melampaui batas dan sekali-sekala ingin bersuara, biarlah. Ini proses pembelajaran dan timba pengalaman sehinggalah sampai tempoh matang nanti. Seperti anak-anak, kita tidak boleh halang sangat, takut nanti ilmu takkan berkembang. Beliau (Syed Saddiq) perlukan ruang untuk berkata-kata dan melakukan apa yang perlu. Bagaimanapun, beliau juga adalah salah seorang daripada Jemaah Menteri, dan beliau suarakan apa yang anak muda mahu. Tiada masalah, kerana ini adalah proses pembelajaran.

S: Hala tuju parti selepas kepemimpinan Dr Mahathir?

J: Tiada apa yang akan berubah, selagi bulan dan bintang masih bersinar dan bunga masih berkembang, perjuangan parti akan terus kekal. Walaupun pemimpin datang silih berganti, kita tahu apa perjuangan dan hala tuju. Dr Mahathir sudah gariskan landasan, cara, hala tuju, budaya dan bahasa. Kita ambil jadikan panduan. Saya pun akan berundur, tetapi kita kena istiqamah dan teruskan melalui jalan yang lurus supaya rakyat bersetuju dengan perjuangan parti.

S: Khabar angin mengatakan dalam pemilihan akan datang, anda akan dilantik sebagai Presiden dan Mukhriz sebagai Pengerusi?

J: Tidak ada langsung perbincangan mengenainya. Tahun depan ada pemilihan, kita berpaksikan sistem demokrasi dan terserah kepada perwakilan untuk menentukannya. Kita akan lalui proses pemilihan, kalau bakal diambil alih, tidak mengapa. Saya pun penat, namun ada tanggungjawab yang perlu ditunaikan. Ahli lebih tahu apa yang mereka mahu sama ada pemimpin perlu diganti.

S: Nasihat untuk perwakilan berikutan perbahasan bakal membabitkan isu sensitif antaranya hak Melayu dan status ekonomi Bumiputera?

J: Saya beritahu perwakilan, mereka bebas untuk bercakap. Penting untuk mereka bawa suara ahli akar umbi. Sebab itu kita tidak mahu media buat liputan (perbahasan tertutup), kerana paling utama, mereka ada ruang untuk bersuara. Kita orang Melayu, ada budi bahasa, terpulang kepada perwakilan untuk berbicara.

S: Nasihat selepas selesai perhimpunan?

J: Bawa balik mesej yang dibincangkan dan sampaikan kepada pimpinan, ahli dan seluruh rakyat. Sebahagian besar daripadanya masih belum fokus dan tidak tahu apa yang perlu dilakukan untuk membantu menyelesaikan masalah rakyat. Parti tidak dapat nak menolong, sebab kita tiada duit, tetapi kerajaan boleh bantu. Apa guna perjuangan parti kalau tidak mengambil kira masalah rakyat? Justeru, semua jawapan yang digulungkan nanti perwakilan bentangkanlah, supaya akar umbi dapat laksanakannya sekali gus mengukuhkan kekuatan parti.

S: Ada pandangan mengatakan BERSATU adalah ‘big brother’ kerana Dr Mahathir adalah Pengerusi yang juga Perdana Menteri. Selepas Anwar dilantik sebagai PM, apa reaksi parti?

J: Kita tak pernah menganggap parti ini ‘big brother’, sebaliknya semua adalah sama dan bekerja sebagai satu pasukan. Ini fakta. Dr Mahathir seorang individu yang bersifat demokratik dan meluangkan masa untuk mendengar semua pandangan yang dilontarkan secara adil. Kita wujudkan persefahaman antara parti. Beliau (Anwar) akan ambil alih apabila tiba masanya. Ada sesetengah individu masih ragu-ragu berhubung isu terbabit, itu semuanya ‘politiking’. Parti setia kepada kerajaan kerana kita ada mandat dan perlu memenuhi tanggungjawab yang diberikan oleh rakyat.

S: Adakah BERSATU akan menggantikan UMNO dan menjadi pesaing PAS dalam mendapatkan sokongan orang Melayu?

J: BERSATU bukan pengganti UMNO. Orang yang asyik sebut begitu. Kita adalah pengasas parti baharu. UMNO agaknya mungkin akan terus kekal, walaupun jumlahnya semakin mengecil. Bagaimana kita mahu ganti? Apa juga situasinya, kita akan teruskan dasar yang sudah ditetapkan. Selain pemimpin atasan UMNO, ramai ahlinya sudah sertai kita. Kebanyakannya kurang beri perhatian sebab mereka orang biasa. Bagi saya, ini adalah perkembangan sihat.

S: Taktik BERSATU untuk menarik sokongan pengundi negeri Pantai Timur.

J: Perwakilan dari Kelantan, Terengganu, Pahang dan Perlis (Utara) akan hadir dan membentangkan apa kelemahan kita di sana. Bukan BERSATU saja, malah AMANAH, PKR pun ada di negeri terbabit. Kita tidak boleh anggarkan mereka akan kekal bersama PAS sebab pastinya akan ada perubahan. Ini terbukti dengan penubuhan kerajaan baharu. Parti kita belum dikenali ramai, namun segala maklumat yang dikumpulkan akan digunakan untuk perkukuhkan parti di negeri Pantai Timur.

Presiden BERSATU, Tan Sri Muhyiddin Yassin. - NSTP/Asyraf Hamzah
Berita Harian X