Jumaat, 28 Disember 2018 | 3:55pm
Jumlah perkahwinan mencatatkan penurunan sebanyak 4.9 peratus daripada 200,274 pada 2016 kepada 190,532 pada tahun lalu. - Foto hiasan

Kadar perkahwinan 2017 turun

KUALA LUMPUR: Jumlah perkahwinan mencatatkan penurunan sebanyak 4.9 peratus daripada 200,274 pada 2016 kepada 190,532 pada tahun lalu.

Statistik dikeluarkan Jabatan Perangkaan Malaysia hari ini turut mendapati trend penurunan bagi kadar perkahwinan kasar daripada 6.3 peratus bagi setiap 1,000 penduduk pada 2016 kepada 5.9 peratus bagi tahun lalu.

Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin, berkata bilangan perkahwinan orang Islam yang direkodkan pada 2017 adalah 134,008 iaitu menurun 6.1 peratus berbanding 142,712 pada 2016.

“Sementara kadar perkahwinan kasar mencatatkan penurunan daripada 7.4 peratus pada 2016 kepada 6.8 peratus pada tahun lalu bagi setiap 1,000 penduduk orang Islam.

“Perkahwinan bukan Islam turut merekodkan penurunan 1.8 peratus kepada 56,524 pada 2017 berbanding 57,562 pada 2016.

“Oleh itu, kadar perkahwinan kasar mencatatkan penurunan daripada 4.7 peratus pada 2016 kepada 4.5 peratus tahun lalu bagi setiap 1,000 penduduk bukan Islam,” katanya.

Data bagi orang Islam diperoleh daripada Jabatan Agama Islam Negeri (JAIN) kecuali Johor, Selangor dan Sarawak adalah berdasarkan data pendaftaran daripada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM).

Berita Harian X