Sabtu, 29 Disember 2018 | 11:14pm

9 intervensi kurangkan bebanan guru mulai bulan depan

KUALA LUMPUR: Kementerian Pendidikan menggariskan sembilan intervensi yang akan dilaksanakan bermula bulan depan bagi mengurangkan bebanan tugas guru.

Menterinya, Dr Maszlee Malik bagaimanapun berkata, intervensi yang akan dipecahkan kepada lima inisiatif itu akan diumumkan ketika perutusan Tahun Baharu pada 14 Januari nanti.

Katanya, intervensi terbabit terhasil daripada 16 sesi libat urus antara kementerian dan Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP) yang berlangsung sejak Julai lalu.

“Selain kementerian, pelaksanaan itu turut membabitkan Jabatan Pendidikan Negeri, Pejabat Pendidikan Daerah dan sekolah-sekolah.

“Tugas pendidik kini kian mencabar kerana selain mendidik anak bangsa, kerja ditambah dengan tugas perkeranian yang tidak relevan membebankan guru untuk menjalankan pengajaran dan pembelajaran di dalam kelas.

“Justeru, cara untuk memastikan semua guru kembali mengajar dengan gembira dan bersungguh-sungguh adalah dengan mengenal pasti punca dan mengembalikan tugas hakiki iaitu mendidik dan mengajar,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media sempena Perhimpunan Khas NUTP di Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE), hari ini.

Hadir sama, Presiden NUTP, Kamarozaman Abd Razak dan Setiausahanya Agungnya, Harry Tan.

Mengulas lanjut, beliau berkata lebih 70 cadangan sudah dikemukakan NUTP yang mewakili suara 230,000 di seluruh negara termasuk Sabah dan Sarawak.

“Terima kasih atas kerjasama dan cadangan yang bakal dilaksanakan bersama nanti,” katanya.

Pada Ogos lalu, kementerian melaporkan sebanyak 4.4 peratus atau 2,123 daripada 48,258 guru dikenal pasti mengalami stres tahap sederhana tinggi tahun lalu.

Hasil kajian menunjukkan stres dalam kalangan golongan itu disebabkan pelbagai faktor antaranya isu keluarga, kewangan, pentadbiran, bebanan tugas, tidak mendapat penghargaan, kekurangan kemahiran dalam menjalankan tugas dan tidak dilatih untuk menangani stres.

Kamarozaman (dua dari kiri) menyampaikan Memorandum NUTP Dalam Menghapuskan Tugas-Tugas Guru Yang Tidak Relevan kepada Dr Maszlee ketika Perhimpunan Khas NUTP di MATRADE, hari ini. - NSTP/Azhar Ramli
Berita Harian X