Isnin, 31 Disember 2018 | 2:22pm

Adakah Abdul Rashid, BERSATU lupa kenapa UMNO ditolak - BERSIH

KUALA LUMPUR: BERSIH 2.0 menyelar kenyataan Naib Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU), Tan Sri Abdul Rashid Abdul Rahman semalam, yang mahu sumber dan kontrak kerajaan disalurkan kepada ketua bahagian parti itu.

Jawatankuasa Pemandu BERSIH 2.0 dalam satu kenyataan, mempersoalkan sama ada Abdul Rashid serta perwakilan BERSATU yang memberi sorakan gemuruh pada ucapan itu, sudah lupa mengapa rakyat menolak UMNO dan Barisan Nasional pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).

BERSIH 2.0 turut mempersoalkan sama ada Pakatan Harapan (PH) secara am, dan BERSATU secara khusus, komited untuk melaksanakan reformasi pilihan raya dan institusi.

“Adakah Tan Sri Rashid dan perwakilan yang bersorak dan berdiri pada ucapan itu, sudah lupa mengapa rakyat menolak UMNO dan BN tujuh bulan lalu.

“Salah guna kuasa oleh pemerintah elit menerusi penyaluran sumber kerajaan, korupsi dan amalan politik naungan menjadi sesuatu yang menjijikkan sehingga rakyat Malaysia bersatu pada 9 Mei lalu.

“Menjadi kerajaan bukanlah satu ganjaran, tetapi tanggungjawab yang diamanahkan kepada ahli politik oleh rakyat.

“Berkhidmat dengan efektif dan jujur, rakyat akan perbaharui kontrak itu setiap lima tahun. Menyalahgunakan kuasa untuk memperkaya diri dan kroni, rakyat akan merampas kuasa dan sedia berdepan tindakan undang-undang,” kata kenyataan itu, hari ini.

Semalam, Abdul Rashid yang juga bekas Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) ketika menyampaikan ucapan penggulungan pada Perhimpunan Agung Tahunan (PAT) BERSATU, menggesa kerajaan memberi kontrak secara kronisme kepada kepada ketua bahagian dan cawangan parti.

Ia bagi memastikan ketua bahagian dan cawangan parti memiliki peruntukan mencukupi, bagi membolehkan BERSATU dan PH meraih sokongan dan menang dalam pilihan raya dengan ‘apa jua cara sekalipun’.

Susulan kenyataan itu, ARMADA BERSATU mengecam kenyataan Abdul Rashid dan berikrar sayap pemuda parti itu akan memerangi sebarang tindakan dalam kepimpinan BERSATU yang memberi tender secara rundingan terus dan amalan ‘kabel’ parti.

Jawatankuasa Pemandu BERSIH 2.0 memuji tindakan ARMADA dan menyifatkan keupayaan pemimpin masa depan parti itu memahami budaya korupsi perlu dihapuskan, amat menggalakkan.

BERSIH 2.0 turut menggesa Perdana Menteri yang juga Pengerusi BERSATU, Tun Dr Mahathir Mohamad, menyegerakan pelaksanaan empat perkara bagi menghapuskan amalan korupsi di peringkat akar umbi dalam politik.

Antaranya, menggubal Akta Pentadbiran Neutral bagi mengatasi amalan kronisme, penyalahgunaan sumber kerajaan dan kuasa, selain penggubalan Akta Kawalan Dana Politik untuk ketelusan serta mengawal dan mengehadkan dana politik.

“Kerajaan juga perlu segera mengangkat status, autonomi dan kuasa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menerusi pindaan Perlembagaan, selaras janji 14 dalam manifesto PH.

“SPR perlu diperkukuh dengan kuasa mendakwa bagi memastikan parti politik, calon dan ejen patuh perundangan pilihan raya, selain memberi keseimbangan kepada semua parti bertanding dan mengelakkan jentera kerajaandisalah guna,” katanya.

Berita Harian X