Selasa, 1 Januari 2019 | 12:47pm
Maszlee (kanan) beramah mesra bersama murid-murid ketika menghadiri lawatan sempena hari pertama sesi persekolahan 2019 di Sekolah Kebangsaan Ledang, Tangkak. - NSTP/Adi Safri

Murid lebih kreatif, bersemangat tanpa peperiksaan - Maszlee

TANGKAK: Pemansuhan peperiksaan bagi murid Tahap Satu (Tahun Satu, Dua dan Tiga) bermula tahun ini diharap menjadi pemangkin kepada murid lebih kreatif dan bersemangat ke sekolah.

Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik, berkata langkah itu juga diharap mampu mentransformasikan pendidikan sekolah rendah negara ini yang sebelum ini lebih bertumpu kepada peperiksaan.

“Kita berharap guru Tahap Satu lebih kreatif dalam mencungkil potensi serta kebolehan murid di samping memastikan mereka sentiasa bersemangat dan seronok datang ke sekolah.

“Penumpuan serta fokus terhadap aspek pembelajaran menyeronokkan di dalam kelas juga perlu ditingkatkan bagi membolehkan murid mendapat manfaat optimum, sekali gus mampu mengembangkan potensi setiap murid yang berlainan.

“Kementerian percaya murid Tahap Satu akan mendapat manfaat dengan menjadi murid lebih kreatif, bijak dan bersemangat dalam pembelajaran mereka selain akan lebih seronok ke sekolah,” katanya selepas melakukan tinjauan hari pertama persekolahan di Sekolah Kebangsaan (SK) Ledang, di sini, hari ini.

Yang turut hadir, Pengarah Pendidikan Johor, Shaharudin Sharif.

Tahun lalu, Maszlee mengumumkan peperiksaan bagi murid Tahap Satu akan dimansuhkan bermula tahun hadapan dan digantikan dengan sistem pentaksiran lebih objektif.

Sementara itu, Maszlee berkata selain fokus terhadap pemansuhan peperiksaan Tahap Satu kementerian juga akan menumpukan kepada kaedah mengurangkan bebanan tugas guru tahun ini.

“Saya akan mengumumkan berita baik kepada guru dalam mengurangkan bebanan tugas mereka perutusan Tahun Baru pada 14 Januari nanti.

“Diharap inisiatif yang bakal diumumkan nanti bakal memberi kelegaan di samping meningkatkan semangat guru dalam mendidik anak bangsa,” katanya.

Mengulas isu kurikulum pelajaran baharu yang dijangka dapat dilaksanakan pada penghujung 2020 atau awal 2021, Maszlee berkata formula terbaik sedang dikaji bagi memantap kurikulum pendidikan negara.

“Jawatankuasa Dasar dan Majlis Penasihat Pendidikan Kebangsaan yang dilantik sedang merangka dan mengkaji formula terbaik dari dapatan dan maklum balas pelbagai pihak berkepentingan.

“Kementerian akan umumkan hasil serta formula berkenaan apabila ia selesai bagi mendapatkan maklum balas semua pihak, ” katanya.

Berita Harian X