Rabu, 2 Januari 2019 | 12:27pm
DUA pasangan kembar (dari kanan), Nur Damia Subhana, Nur Darwisyah, Mior Adam Firdaus Mior Zaidi dan Mior Aliff Zafri menghadiri hari pertama sesi persekolahan di Sekolah Kebangsaan (SK) Silibin, hari ini. - Foto Effendy Rashid
DUA pasangan kembar (dari kanan), Nur Damia Subhana, Nur Darwisyah, Mior Adam Firdaus Mior Zaidi dan Mior Aliff Zafri menghadiri hari pertama sesi persekolahan di Sekolah Kebangsaan (SK) Silibin, hari ini. - Foto Effendy Rashid

Pasangan kembar teruja ke sekolah

IPOH: Dua pasangan kembar menjadi tumpuan dan kelihatan begitu teruja untuk menghadiri hari pertama sesi persekolahan di Sekolah Kebangsaan (SK) Silibin di sini, hari ini.

Mereka ialah pasangan kembar lelaki, Mior Adam Firdaus Mior Zaidi dan Mior Aliff Zafri, serta pasangan kembar perempuan, Nur Damia Subhana dan Nur Darwisyah.

Ibu kepada pasangan kembar perempuan, Junainah Othman, 41, berkata kedua anak kembarnya itu begitu teruja dan bangun seawal jam 5 pagi untuk bersiap ke sekolah.

“Kakaknya Nur Damia yang paling teruja, mereka berdua begitu bersemangat mahu ke sekolah dan asyik bertanya berulang kali sehingga terjaga jam 1.30 pagi bertanyakan sama ada sudah mahu bersiap untuk ke sekolah atau belum.

“Mereka tidak berasa takut dan memberitahu tidak sabar mahu pergi ke sekolah hari ini,” katanya ketika ditemui menghantar anaknya ke sekolah berkenaan di sini pagi ini.

Junainah berkata, kedua anak kembarnya itu juga mempunyai minat yang sama dan sentiasa bersama-sama ke mana sahaja.

“Jadi, saya meminta pihak sekolah menempatkan anak kembar saya di kelas yang sama dan guru memasukkan mereka di kelas 1 Dinamik,” katanya.

Sementara itu, ibu kepada pasangan kembar lelaki, Hashimah Ahmad, 37, berkata kedua anak kembarnya itu tiada masalah untuk ke sekolah kerana begitu seronok mahu berjumpa kawan baharu.

“Abangnya, Mior Adam Firdaus yang paling teruja sejak daripada waktu membeli barangan persekolahan lagi.

“Mereka berdua memang tidak boleh berpisah lama, nasib baik guru menetapkan mereka di kelas yang sama di kelas 1 Kreatif,” katanya.

Dalam perkembangan sama, murid SK Silibin yang memulakan sesi persekolahan hari ini teruja apabila kehadiran mereka disambut oleh maskot harimau.

Maskot berkenaan yang berada di pintu pagar sekolah kelihatan bersalaman dan bermesra dengan murid yang hadir terutama murid tahun satu.

Sementara itu, Guru Besar sekolah berkenaan, Badrul Hisham Yusoff, berkata setakat ini seramai 70 murid tahun satu yang berdaftar dan ditempatkan di tiga kelas di sekolah itu.

“Murid sudah berdaftar pada 29 Disember lalu dan ibu bapa juga sudah diberi taklimat berkenaan keperluan persekolahan anak mereka.

“Program transisi untuk murid tahun satu akan diadakan selama dua minggu bermula hari ini, murid akan didedahkan dengan persekitaran sekolah,” katanya.

Berita Harian X