Rabu, 2 Januari 2019 | 4:36pm
LEE Lam Thye

Naik taraf MKAA tangani isu keselamatan aktiviti air

KUALA LUMPUR: Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) perlu menaikkan taraf Majlis Keselamatan Aktiviti Air Negara (MKAA) bagi membolehkannya menangani isu keselamatan aktiviti air dengan lebih baik lagi.

Ahli MKAA, Tan Sri Lee Lam Thye, berkata ini kerana keselamatan aktiviti air kurang diberi penekanan berbanding keselamatan di jalan raya.

“Aktiviti air sekarang semakin bertambah. Sungai, air terjun, kolam, laut malah kawasan lombong juga turut menjadi tumpuan.

“Saya berharap dengan menaikkan taraf MKAA, dapatlah pelbagai program kesedaran diadakan buat masyarakat,” katanya.

Beliau mengulas isu kes lemas yang sering berlaku di seluruh negara setiap kali musim cuti sekolah.

Lam Thye berkata, selain itu, sekolah-sekolah juga perlu melakukan kempen keselamatan di air dengan memberi peringatan serta kesedaran kepada pelajar-pelajar sebelum bermula sesi cuti sekolah.

“Pihak bomba juga perlu bertindak tegas dengan mengingatkan 12 zon berisiko di seluruh negara yang sudah dikenal pasti harus dielakkan atau dijauhi.

“Pihak berkuasa tempatan (PBT) juga perlu melakukan pemantauan di tepi pantai. Letak papan tanda di kawasan-kawasan tertentu sebagai arahan dan peringatan kepada orang ramai,” katanya.

Katanya, ibu bapa atau orang dewasa perlu ada bersama kanak-kanak apabila mereka terbabit dengan aktiviti air.

“Pastikan anak-anak bermain di air dalam pemantauan orang dewasa. Kalau boleh latih mereka belajar berenang jadi mereka lebih yakin apabila terbabit dengan aktiviti air,” katanya lagi.

Sementara itu, Menteri KPKT, Zuraida Kamaruddin, ketika dihubungi berkata, pihaknya akan mengkaji cadangan dan saranan yang diberi.

Berita Harian X