Jumaat, 4 Januari 2019 | 11:28am

EKSKLUSIF: Guna ruang udara Johor

PASIR GUDANG: Beberapa pesawat ringan dan kapal terbang dilihat berlegar di ruang udara Malaysia sebelum mendarat di Lapangan Terbang Seletar susulan penguatkuasaan tatacara Sistem Pendaratan Instrumen (ILS), bermula semalam.

Dalam satu notis dikeluarkan Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Singapura (CAAS) pada 1 Disember lalu, prosedur pelaksanaan ILS bagi landasan 21 di Lapangan Terbang Seletar berkuat kuasa pada jam 12 tengah malam kelmarin.

Lapangan terbang itu yang digunakan untuk pesawat kargo dan pesawat persendirian terletak betul-betul di tepi Selat Johor menghadap Pelabuhan Johor, dekat sini.

Tinjauan BH di sekitar kawasan pusat bandar sejak jam 9 pagi semalam mendapati sebuah pesawat besar dan kira-kira enam pesawat ringan memasuki ruang udara negara, berhampiran Pelabuhan Johor bagi membuat pusingan sebelum mendarat di Lapangan Terbang Seletar di Singapura.

Berdasarkan pemerhatian, kekerapan setiap pesawat ringan mendarat di Lapangan Terbang Seletar yang terletak kira-kira 2 kilometer daripada Pasir Gudang merentasi Selat Johor adalah sekitar setiap 15 hingga 30 minit.

Bagaimanapun, tinjauan selama tiga jam mendapati tiada kapal terbang besar dilihat melintasi kawasan pusat bandar berkenaan, tetapi beberapa penduduk setempat mendakwa pernah melihat pesawat besar melintasi Menara Aqabah yang terletak di tengah Pasir Gudang.

Pesawat terbang rendah


PESAWAT dilihat terbang rendah di perairan Pasir Gudang

Penduduk, Jamian Sani, 49, mendakwa pernah melihat pesawat terbang rendah, namun tidak dapat dipastikan sama ada ia milik komersial atau sebaliknya.

“Jika bunyi jet pejuang Singapura memang selalu dengar kerana amat kuat, cuma kelibatnya tidak kelihatan.

“Jika pelaksanaan ILS di Lapangan Terbang Seletar menyebabkan kapal terbang terbang rendah di ruang udara pusat bandar ini, risau juga kerana jika berlaku apa-apa, ke mana pesawat ini mahu membuat pendaratan kecemasan,” katanya.

Awal bulan lalu, Malaysia mahu Singapura menarik balik rancangan melaksanakan ILS atau mengubah laluan penerbangan ke Lapangan Terbang Seletar di republik itu.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke, dilaporkan berkata, laluan penerbangan untuk sistem itu akan memberi impak besar kepada pembangunan di Pasir Gudang, susulan sekatan ketinggian struktur di kawasan berkenaan.

Beliau berkata, Pelabuhan Johor di Pasir Gudang juga akan berada dalam keadaan berisiko tinggi, selain menghadapi pelbagai sekatan susulan pelaksanaan sistem pendaratan itu.

Malaysia turut mengisytiharkan pewujudan Kawasan Larangan kekal di ruang udara Pasir Gudang berkuat kuasa kelmarin, dengan Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (DCA) mengeluarkan Notis Kepada Juruterbang (NOTAM) pada 25 Disember lalu.

Susulan itu, Singapura akan bertemu Malaysia pada Selasa ini bagi membincangkan pewujudan Kawasan Larangan kekal oleh Kuala Lumpur bagi tujuan aktiviti ketenteraan meliputi ruang udara Pasir Gudang.

Setakat malam tadi, pihak DCA gagal dihubungi bagi mendapatkan penjelasan.

Berita Harian X