Jumaat, 4 Januari 2019 | 1:36pm
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke.

Kerajaan akan siasat dakwaan ruang udara diceroboh

PUTRAJAYA: Kerajaan akan mengarahkan Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) untuk menyiasat dakwaan berlaku pencerobohan ruang udara oleh pesawat penerbangan di Pasir Gudang, Johor.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke, berkata kerajaan sudah mengisytiharkan kawasan di sekitar bandar Pasir Gudang termasuk di pelabuhan Johor sebagai kawasan larangan penerangan.

“Kita akan meminta CAAM untuk memeriksa dakwaan ini. Setakat yang kami tahu, kawasan ini sudah diisytiharkan sebagai kawasan larangan (penerbangan).

“Justeru, jika ada pihak yang melanggar arahan ini, kita akan memohon CAAM untuk menyiasat,” katanya pada sidang media di bangunan Kementerian Pengangkutan, di sini, sebentar tadi.

Beliau mengulas laporan akhbar BH hari ini bahawa terdapat beberapa pesawat ringan dan kapal terbang dilihat berlegar di ruang udara Malaysia sebelum mendarat di Lapangan Terbang Seletar susulan penguatkuasaan tatacara Sistem Pendaratan Instrumen (ILS), bermula semalam.

Dalam satu notis dikeluarkan Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Singapura (CAAS) pada 1 Disember lalu, prosedur pelaksanaan ILS bagi landasan 21 di Lapangan Terbang Seletar berkuat kuasa pada jam 12 tengah malam kelmarin.

Lapangan terbang itu yang digunakan untuk pesawat kargo dan pesawat persendirian terletak betul-betul di tepi Selat Johor menghadap Pelabuhan Johor, dekat sini.

Tinjauan BH di sekitar kawasan pusat bandar sejak jam 9 pagi semalam mendapati sebuah pesawat besar dan kira-kira enam pesawat ringan memasuki ruang udara negara, berhampiran Pelabuhan Johor bagi membuat pusingan sebelum mendarat di Lapangan Terbang Seletar di Singapura.

Bagaimanapun, tinjauan selama tiga jam mendapati tiada kapal terbang besar dilihat melintasi kawasan pusat bandar berkenaan, tetapi beberapa penduduk setempat mendakwa pernah melihat pesawat besar melintasi Menara Aqabah yang terletak di tengah Pasir Gudang.

Berita Harian X