Sabtu, 5 Januari 2019 | 3:48pm
Kawasan larangan kekal ruang udara yang diisytiharkan Malaysia berkuatkuasa pada Rabu lalu. - Foto Mohd Fahmi Yusof

Pesawat persendirian terbang dalam kawasan larangan

PASIR GUDANG: Sebuah pesawat persendirian dilihat terbang dalam kawasan larangan kekal ruang udara Pasir Gudang yang dikuatkuasakan Malaysia pada Rabu lalu dari Lapangan Terbang Seletar, Singapura menuju ke utara.

Penerbangan pesawat jenis Dassault Falcon 50 yang berlepas kira-kira jam 2.20 petang tadi dari lapangan terbang berkenaan dikesan menerusi hasil tinjauan dalam laman sesawang Flight Radar 24.

Pesawat itu berlepas daripada landasan Lapangan Terbang Seletar sebelum membuat pusingan di perairan republik itu dan terbang dalam lingkungan 2,377 meter sehingga 3,048 meter melepasi kawasan larangan kekal ruang udara berhampiran Pasir Gudang.

Malaysia mengisytiharkan pewujudan kawasan larangan kekal di ruang udara Pasir Gudang menerusi Notis Kepada Juruterbang (NOTAM) pada 25 Disember lalu yang dikeluarkan oleh Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM).

Menerusi notis itu, Malaysia memaklumkan kepada pihak berkaitan penerbangan mengenai pewujudan kawasan larangan kekal untuk tujuan aktiviti ketenteraan meliputi ruang udara Pasir Gudang.


Tinjauan menerusi laman sesawang Flight Radar 24 menunjukkan sebuah pesawat persendirian jenis Dassault Falcon 50 terbang dari Lapangan Terbang Seletar, Singapura hari ini melalui kawasan larangan kekal di ruang udara Pasir Gudang yang diisytiharkan Malaysia berkuatkasa pada Rabu lalu. - Foto Mohd Fahmi Yusof

Berdasarkan tinjauan pada laman sesawang Flight Radar 24 sejak jam 11 pagi tadi, terdapat sebuah pesawat daripada lapangan terbang sama berlepas kira-kira jam 1.50 petang tadi dan menghampiri kawasan larangan kekal ruang udara pada ketinggian 1,828 meter.

Penduduk, Nor Shafiq Salleh, 29, berkata beliau sendiri belum pernah berkesempatan menyaksikan pesawat terbang rendah dalam kawasan pusat bandar itu, namun beberapa kali pernah mendengar cerita daripada rakan mengenai perkara itu.

“Baru-baru ini saya ada mendengar cerita daripada kawan mengatakan ada pesawat terbang sangat rendah kira-kira lima hingga 10 minit di pusat bandar Pasir Gudang ini sehingga boleh dengar jelas bunyi enjin pesawat berkenaan.

“Sebagai penduduk, saya semestinya ada rasa bimbang apatah lagi apabila pesawat terbang rendah terutama jika ada berlakunya kecelakaan yang tidak dapat dielakkan,” katanya.

Pekerja swasta, Muhammad Alif Kasmiti, 30, berkata penguatkuasan tatacara Sistem Pendaratan Intrumen (ILS) di Lapangan Terbang Seletar, Singapura boleh menjejaskan pembangunan dan perindustrian di Pasir Gudang secara tidak langsung.

“Jarak lapangan terbang ini dengan Pasir Gudang terutama Pelabuhan Johor amat dekat dan signal yang digunakan mungkin lebih tinggi dan boleh menyebabkan pembangunan di sini terbantut.

“Satu daripada kebimbangan penduduk juga adalah pencemaran bunyi yang kuat jika pesawat ini kerap terbang rendah selain bimbang juga ada pesawat yang terhempas dalam kawasan pusat bandar atau perumahan,” katanya.

Menerusi laporan eksklusif BH semalam, beberapa pesawat ringan dan kapal terbang dilihat berlegar di ruang udara Malaysia sebelum mendarat di Lapangan Terbang Seletar susulan penguatkuasan tatacara ILS.

Dalam satu notis dikeluarkan Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Singapura (CAAS) pada 1 Disember lalu, prosedur pelaksanaan ILS bagi landasan 21 di Lapangan Terbang Seletar berkuat kuasa pada jam 12 tengah malam tadi.

Lapangan Terbang Seletar terletak kira-kira dua kilometer daripada Pasir Gudang merentasi Selat Johor dan kebanyakan yang beroperasi di situ adalah pesawat ringan, pesawat peribadi, kargo dan tambang murah.

Awal bulan lalu, Malaysia mahu Singapura menarik balik rancangan melaksanakan ILS atau mengubah laluan penerbangan ke Lapangan Terbang Seletar di republik itu.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke, dilaporkan berkata ini kerana laluan penerbangan untuk sistem itu akan memberi impak besar kepada pembangunan di Pasir Gudang susulan sekatan ketinggian struktur di kawasan berkenaan.

Beliau berkata, Pelabuhan Johor di Pasir Gudang juga akan berada dalam keadaan berisiko tinggi selain menghadapi pelbagai sekatan susulan pelaksanaan sistem pendaratan itu.

Berita Harian X