Sabtu, 5 Januari 2019 | 5:27pm
Menteri Luar Datuk Saifuddin Abdullah (tengah) yang juga Anggota Parlimen Indera Mahkota bertanya khabar pesakit buah pinggang ketika melawat Pusat Dialisis Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (MUIP) di Kampung Cenderawasih hari ini. - Foto BERNAMA

Malaysia, Singapura bincang pencerobohan ruang udara

KUANTAN: Malaysia akan membawa isu pencerobohan ruang udara Pasir Gudang, Johor oleh pesawat sebelum mendarat di Lapangan Terbang Seletar dalam perbincangan dengan Singapura Selasa ini.

Menteri Luar, Datuk Saifuddin Abdullah, berkata pihaknya tidak akan lagi menghantar nota bantahan berhubung isu itu seperti sebelum ini, sebaliknya akan membincangkannya dalam pertemuan dengan rakan sejawatnya dari Singapura, Dr Vivian Balakrishnan.

Katanya, perbincangan antara wakil Kementerian Pengangkutan Malaysia dengan Singapura berhubung isu penyiaran tatacara Sistem Pendaratan Instrumen (ILS) sudah dijalankan dan akan disusuli perbincangan pada Isnin ini, sebelum beliau bertemu Balakrishnan pada keesokan harinya.

“Cadangan kita adalah supaya Singapura tidak meneruskan hasrat melaksanakan ILS yang menyebabkan kapal terbang hendak mendarat Lapangan Terbang Seletar menggunakan ruang udara Pasir Gudang kerana mereka ada pilihan lain (menggunakan ruang udara Singapura).

“Isu pendaratan di Seletar ini mesti diselesaikan, yang turut bertindih dengan pengurusan ruang udara yang dimeterai pada 1974.

“Isu lain yang akan dibincangkan termasuk garisan perjanjian Pelabuhan Johor Bahru serta perjanjian air,” katanya pada media selepas melawat Pusat Dialisis dikendalikan Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (MUIP) di sini, hari ini.

BH dalam laporan eksklusifnya semalam melaporkan beberapa pesawat ringan dan kapal terbang dilihat berlegar di ruang udara Malaysia sebelum mendarat di Lapangan Terbang Seletar susulan penguatkuasaan tatacara ILS.

Lapangan terbang itu yang digunakan untuk pesawat kargo dan pesawat persendirian terletak betul-betul di tepi Selat Johor menghadap Pelabuhan Johor, Johor Bahru.

Tinjauan BH di sekitar kawasan pusat bandar sejak jam 9 pagi semalam mendapati sebuah pesawat besar dan kira-kira enam pesawat ringan memasuki ruang udara negara, berhampiran Pelabuhan Johor bagi membuat pusingan sebelum mendarat di Lapangan Terbang Seletar di Singapura.

Berhubung isu berasingan, Saifuddin berkata masih tiada keperluan untuk mengeluarkan arahan membawa pulang rakyat Malaysia di Sudan yang sedang bergolak ketika ini berikutan keadaan dilaporkan terkawal.

Katanya, dianggarkan kira-kira 150 rakyat Malaysia berada di negara itu termasuk 109 pelajar dan semua mereka dinasihatkan elak mengunjungi kawasan berhampiran pergolakan.

“Kita minta supaya ibu bapa tidak bimbang dan jangan panik dengan keadaan di sana kerana laporan mutakhir daripada wakil di sana menyatakan keadaan masih terkawal.

“Memang ada penuntut di sana kembali ke Malaysia tetapi ia kerana secara kebetulan adalah musim universiti bercuti dan mereka yang pulang sudah membuat rancangan awal untuk pulang (ke Malaysia)... bukan disebabkan keadaan bergolak,” katanya.

Selain itu, Saifuddin berkata, Presiden Indonesia, Joko Widodo atau Jokowi akan mengadakan lawatan rasmi ke Malaysia pada Februari ini, antara lain bagi memeterai kawasan persempadanan Malaysia- Indonesia di Kalimantan dan Sarawak.

“Kawasan berkenaan sudah dipersetujui dan akan dimeterai pada lawatan itu, kita belum dapat menentukan tarikh lawatan tetapi mengikut jadual asalnya adalah pada bulan hadapan,” katanya.

Berita Harian X