Ahad, 6 Januari 2019 | 1:39pm
MENTERI Besar Johor, Datuk Osman Sapian menyempurnakan perasmian Medan Selera Iskandar Malaysia di Taman Nusa Perintis, hari ini. - Foto Hairul Anuar Rahim

Johor bawa isu ruang udara pada PM - Osman

ISKANDAR PUTERI: Menteri Besar Johor, Datuk Osman Sapian akan mengutarakan isu pencerobohan ruang udara Pasir Gudang dalam mesyuarat bersama Perdana Menteri pada Selasa ini.

Katanya, beliau juga akan mengadakan mesyuarat dan taklimat segera bersama pihak berkaitan berhubung isu berkenaan bagi mendapatkan maklumat dan gambaran menyeluruh.

“Saya juga akan bersama bersama Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Azmin Ali pergi ke Singapura pada 13 dan 14 Januari ini, walaupun tidak termasuk dalam agenda (isu ruang udara) tetapi saya yakin ia akan dibincangkan juga selain mendapatkan maklum balas daripada sana (Singapura).

“Satu dua hari ini saya akan adakan mesyuarat dan taklimat mengenai isu ini kerana yang kita tahu hanya daripada akhbar sahaja, lusa juga saya akan ke Kuala Lumpur untuk bermesyuarat dengan Perdana Menteri dan saya akan tekankan dan minta sedikit penerangan (daripada Kerajaan Pusat),” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menyempurnakan perasmian Medan Selera Iskandar Malaysia di Taman Nusa Perintis, di sini hari ini.

Yang turut hadir, Setiausaha Kerajaan negeri, Datuk Azmi Rohani; Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Pembangunan Luar Bandar negeri, Dzulkefly Ahmad dan Ketua Eksekutif Pihak Berkuasa Wilayah Pembangunan Iskandar (IRDA), Datuk Ismail Ibrahim.

Osman menegaskan, Singapura tidak mempunyai hak untuk menghalang pembangunan Pasir Gudang, malah perancangan untuk jadikan kawasan itu sebagai bandar raya ketiga di negeri ini sedang giat dilaksanakan.

“Pasir Gudang bukan sahaja berpotensi jadi bandar raya dan kerajaan negeri pun dalam pendekatan menaik taraf kawasan itu sebagai bandar raya ketiga kerana sudah memenuhi kriteria iaitu melebihi kepadatan 300,000 penduduk.

“Kita punya hak sebagai kerajaan negeri untuk bangunkan (Pasir Gudang), apa salahnya. Singapura tidak boleh hentikan,” katanya.

Dalam laporan eksklusif BH kelmarin, beberapa pesawat ringan dan kapal terbang dilihat berlegar di ruang udara Malaysia sebelum mendarat di Lapangan Terbang Seletar susulan pelaksanaan tatacara Sistem Pendaratan Instrumen (ILS) yang berkuatkuasa pada jam 12 tengah malam, Khamis lalu.

Awal bulan lalu, Malaysia mahu Singapura menarik balik rancangan melaksanakan ILS atau mengubah laluan penerbangan ke Lapangan Terbang Seletar di republik itu.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke, dilaporkan berkata ini kerana laluan penerbangan untuk sistem itu akan memberi impak besar kepada pembangunan di Pasir Gudang susulan sekatan ketinggian struktur di kawasan berkenaan.

Beliau berkata, Pelabuhan Johor di Pasir Gudang juga akan berada dalam keadaan berisiko tinggi selain menghadapi pelbagai sekatan susulan pelaksanaan sistem pendaratan itu.

Berita Harian X