Ahad, 6 Januari 2019 | 10:08pm

Peletakan jawatan Yang di-Pertuan Agong: Kerajaan Kelantan bermesyuarat esok

TUMPAT: Kerajaan Kelantan belum menerima sebarang pemakluman rasmi daripada Istana Negara berhubung keputusan Sultan Muhammad V meletak jawatan sebagai Yang di-Pertuan Agong, kata Menteri Besar, Datuk Ahmad Yakob.

Beliau berkata, kerajaan negeri akan mengadakan mesyuarat dengan Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Nazran Muhammad dan Unit Protokol Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri untuk mengambil langkah seterusnya berhubung perkara itu.

"Saya sebagai Menteri Besar baru terima (pemakluman tidak rasmi) mengenai perkara itu malam ini. Kami terimalah sebab itu hak (Seri Paduka) baginda," katanya ketika ditemui selepas menyampaikan kuliah Maghrib di Masjid Al-Hidayah, Kampung Laut di sini, malam ini.

Beliau berkata baginda juga tidak bertitah mengenai perkara itu ketika pulang menunaikan solat Jumaat di Masjid Sultan Ismail Petra, Kubang Kerian Jumaat lalu.

“Seri Paduka masih lagi bercakap (dan bertindak) sebagai Yang di-Pertuan Agong (ketika pulang Jumaat lepas) tapi wallahua'lam apa yang berlaku (selepas itu)," katanya.

Sultan Muhammad V ditabal sebagai Yang di-Pertuan Agong XV pada 24 April 2017 selepas mengangkat sumpah jawatan itu pada 13 Disember 2016.

Baginda menggantikan Almarhum Tuanku Abdul Halim Mu’adzam Shah yang tamat tempoh pemerintahan sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-14 pada 12 Disember 2016.

Dalam sistem demokrasi raja berlembagaan Malaysia, pemilihan Yang di-Pertuan Agong dilakukan secara bergilir pada setiap lima tahun.

Peletakan jawatan oleh Sultan Muhammad V sebagai ketua negara adalah yang pertama dalam sejarah negara. - BERNAMA

Ahmad ditemuramah wartawan berkenaan berita Sultan Muhammad V meletakkan jawatan sebagai Yang di-Pertuan Agong ketika ditemui selepas menyampaikan kuliah Maghrib di Masjid Al-Hidayah, Kampung Laut, Tumpat. - NSTP/Zaman Huri Isa
Berita Harian X