Selasa, 8 Januari 2019 | 11:19am
Menteri Luar, Datuk Saifuddin Abdullah. - Foto BERNAMA

Mesyuarat bincang konflik Malaysia-Singapura mula jam 11.30 pagi

SINGAPURA: Pertemuan antara Malaysia dan Singapura akan berlangsung jam 11.30 pagi ini bagi membincangkan isu pertikaian ruang udara dan maritim kedua-dua negara.

Pertemuan berlangsung di Pejabat Kementerian Luar Singapura yang terletak di Sherwood Road, di sini.

Delegasi Malaysia akan diketuai Menteri Luar, Datuk Saifuddin Abdullah yang akan bertemu rakan sejawatnya, Dr Vivian Balakrishnan.

Pertemuan dijangka berlangsung selama dua jam sebelum sidang media bersama oleh kedua-dua negara dijangka diadakan kira-kira jam 1 tengah hari di lokasi sama.

Beberapa pengamal media dari Malaysia dan Singapura dilihat sudah memenuhi ruang menunggu dan beratur di hadapan pintu masuk Pejabat Kementerian Luar Singapura bagi menjalani pemeriksaan keselamatan yang ketat.

Ketegangan konflik ruang udara Malaysia-Singapura bermula selepas satu notis dikeluarkan Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Singapura (CAAS) Disember lalu, memaklumkan pelaksanaan tatacara ILS akan dikuat kuasa di landasan 21 Lapangan Terbang Seletar pada jam 12 tengah malam 3 Januari lalu.

Menerusi pelaksanaan taracara ILS, pesawat yang mendarat di landasan berkenaan perlu melalui ruang udara Pasir Gudang, yang hanya terletak dua kilometer merentasi Selat Johor ke Lapangan Terbang Seletar.

Malaysia kemudian mahu Singapura menarik balik rancangan melaksanakan ILS atau mengubah laluan penerbangan ke Lapangan Terbang Seletar di republik itu.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke, dilaporkan berkata ini kerana laluan penerbangan untuk sistem itu akan memberi impak besar kepada pembangunan di Pasir Gudang susulan sekatan ketinggian struktur di kawasan berkenaan.

Beliau berkata, Pelabuhan Johor di Pasir Gudang juga akan berada dalam keadaan berisiko tinggi selain menghadapi pelbagai sekatan susulan pelaksanaan sistem pendaratan itu.

Kemudian, dalam laporan eksklusif BH Jumaat lalu, mendedahkan beberapa pesawat ringan dan kapal terbang dilihat berlegar di ruang udara Malaysia sebelum mendarat di Lapangan Terbang Seletar susulan pelaksanaan tatacara ILS.

Saifuddin sebelum ini menegaskan Malaysia tetap berpegang kepada pendirian bahawa pesawat yang ingin mendarat di Lapangan Terbang Seletar, Singapura tidak boleh menggunakan ruang udara Malaysia di Pasir Gudang, Johor.

Berita Harian X