Rabu, 9 Januari 2019 | 2:40pm

Syor tangguh kenaikan tarif air

KUALA LUMPUR: Cadangan untuk menaikkan kadar tarif air secara berperingkat tahun ini wajar dikaji semula berdasarkan keadaan ekonomi negara yang tidak stabil sehingga memberi kesan kepada rakyat.

Pakar air, Prof Madya Dr Haliza Abdul Rahman, berpendapat langkah untuk menaikkan tarif air disifatkan tidak sesuai dan hanya akan membebankan pengguna.

“Saya tidak menyokong usaha ini kerana keadaan ekonomi negara tidak mengizinkan. Kerajaan perlu menangguhkannya sehingga keadaan benar-benar mengizinkan.

“Buat masa ini apa yang kerajaan perlu lakukan ialah mendidik pengguna supaya menggunakan air secara berhemah bagi mengelak pembaziran kerana jika tarif air dinaikkan, tetapi tiada kesedaran dalam penggunaan air, ia tidak membawa sebarang perubahan,” katanya ketika dihubungi BH, hari ini.

Haliza berkata, persoalan mengenai tarif air yang rendah ketika ini bukan satu isu yang perlu diberi keutamaan dalam memastikan kemampanan industri air negara.

Katanya, tahap kesedaran masyarakat terhadap kepentingan air dan penjagaan sumber air negara perlu dipertingkatkan bagi memastikan negara akan terus memiliki sumber bekalan air mentah mencukupi pada masa depan.

Sementara itu, pakar ekonomi, Prof Dr Barjoyai Bardai, berkata kenaikan kadar tarif air tidak boleh sehingga membebankan pengguna kerana purata isi rumah terkesan dengan kenaikan kos sara hidup ketika ini.

“Jika langkah menaikkan kadar tarif air terpaksa dilakukan, satu mekanisme harus dirangka supaya kenaikan itu tidak membebankan pengguna.

“Kerajaan negeri yang menguruskan air di negeri masing-masing mungkin boleh mengambil langkah mengadakan program pemberian air percuma kepada golongan B40 bagi mengurangkan kesan yang terpaksa ditanggung akibat kenaikan terbabit,” katanya.

Semalam, Menteri Air, Tanah dan Sumber Asli, Dr A Xavier Jayakumar, berkata kadar tarif air mungkin akan dinaikkan secara berperingkat tahun ini selaras dengan usaha kerajaan untuk menstruktur semula industri perkhidmatan bekalan air di negara ini.

Katanya, kenaikan tarif sumber asli terbabit perlu dilaksanakan bagi menjaga kepentingan pengguna untuk mendapatkan air berkualiti serta menjamin industri itu dari sudut perkhidmatan.

Beliau dilaporkan berkata kementeriannya bersama Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) sedang berunding dengan beberapa kerajaan negeri untuk mendapatkan persetujuan semua pihak sebelum ia dilaksanakan.

Berita Harian X