Rabu, 9 Januari 2019 | 5:05pm

Penstrukturan semula air perlu ikut penanda aras - AWER

KUALA LUMPUR: Penstrukturan semula industri perkhidmatan air negara dengan mengambil kira penanda aras tertentu perlu dilakukan sebelum menaikkan tarif bagi menjaga kepentingan pengguna.

Presiden Persatuan Penyelidikan Air dan Tenaga Malaysia (AWER), S Piapakaran, berkata melalui model itu, pelarasan tarif air dibuat setiap tiga tahun.

Menurutnya, dalam pelarasan seumpamanya tidak ada masalah, malah tidak membebankan pengguna kerana ada tarif mungkin naik atau kekal.

“Dalam konteks pelarasan air ini sebenarnya tak ada masalah, yang penting ketelusan, sebab diletak penanda aras, contohnya penanda aras bagi air yang keruh dari loji.

“Masalahnya, Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) tak ikut. Untuk ini SPAN kena buat kerja, mereka patut keluarkan nota ringkas, apakah tarif baru dan dari mana datang kos tambahan, patut buat pada 2009 lagi, tapi dah 10 tahun masih tak buat.

“Kalau buat macam saya cakap, tidak membebankan. Kalau ikut SPAN sekarang, memang membebankan sebab ketidakcekapan,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Beliau diminta mengulas berkenaan tarif air mungkin dinaikkan secara berperingkat tahun ini selaras usaha kerajaan untuk menstruktur semula industri perkhidmatan bekalan air negara.

Menteri Air, Tanah dan Sumber Asli, Dr A Xavier Jayakumar, malam tadi dilaporkan berkata, kenaikan tarif sumber asli itu perlu dilaksanakan bagi menjaga kepentingan pengguna mendapatkan air berkualiti serta menjamin industri dari sudut perkhidmatan.

Beliau bagaimanapun berkata, kenaikan itu tidak akan membebankan rakyat dan akan dirunding dengan semua (kerajaan) negeri.

Katanya, kementerian bersama SPAN sedang berunding dengan beberapa kerajaan negeri untuk mendapatkan persetujuan semua pihak sebelum dilaksanakan.

Mengulas lanjut, Piapakaran berkata menteri sebagai orang baru kena lebih berhati-hati sebelum memutuskan sesuatu perkara serta melakukan semak dan imbang.

“Kita risau, sebagai orang baru menteri kena lebih berhati-hati, pastikan semak dan imbang dalam kementerian manakala pegawai orang lama, jangan percaya (bulat-bulat) pegawai yang kelentong.

“Bukan orang tak setuju naik, tapi mengapa naik? Bila beritahu lebih jelas, pengguna boleh terima, mereka tahu perkhidmatan lebih bagus dan sama-sama majukan industri air.

“Kalau tak dapat jawab (kewajaran naikkan tarif), nanti orang ingat tipu. Bila datang pelarasan seterusnya, pengguna boleh kata tak setuju,” katanya.

Sementara itu, Timbalan Presiden Gabungan Persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA), Mohd Yusof Abdul Rahman, berkata ada kewajaran menaikkan tarif asalkan tidak membebankan pengguna terutama golongan pendapatan rendah.

“Ada negeri mungkin perlu naik tarif air, sebab wang diterima daripada tarif itu tidak mencukupi, (akibatnya) proses penggantian paip tidak dapat dilaksanakan kerana kos yang besar.

“Malah, ada negeri yang sudah lama tidak menaikkan tarif dan ini tidak dapat menampung kos prasarana bekalan air.

“Apabila proses ini tidak dapat dilaksanakan, kualiti air akan teruk. Kualiti air kebanyakannya berkait dengan paip yang usang. Kosnya besar, tak dapat dilaksanakan,” katanya.

Berita Harian X