Khamis, 10 Januari 2019 | 2:29pm
PERDANA Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Kabinet Mengenai Anti Rasuah (JKKMAR) keenam di Putrajaya, hari ini. - Foto Ahmad Irham Mohd Noor
PERDANA Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Kabinet Mengenai Anti Rasuah (JKKMAR) keenam di Putrajaya, hari ini. - Foto Ahmad Irham Mohd Noor

Kerajaan perlu dokumen bukti wujud perjanjian Malaysia-China - Dr Mahathir

PUTRAJAYA: Kerajaan Pakatan Harapan (PH) perlu melihat terlebih dulu dokumen yang dipetik Wall Street Journal (WSJ) sebagai ‘minit mesyuarat’ antara Malaysia dan China, sebelum boleh mengambil tindakan lanjut, kata Tun Dr Mahathir Mohamad.

Perdana Menteri berkata kerajaan perlukan dokumen itu untuk diguna sebagai bukti perjanjian membabitkan kerajaan terdahulu yang didakwa menganugerahkan projek rel dan saluran paip sebagai ganjaran kepada tawaran China bagi menyelamat 1Malaysia Development Bhd (1MDB) yang berdepan masalah kewangan.

“Kenyataan mengenai adanya dokumen ini dibuat oleh media. Saya rasa dokumen seperti yang dilaporkan itu ada, cuma sama ada ia boleh ditunjukkan kepada kerajaan dan berada di tangan kita sebelum boleh menerima laporan dibuat media berkenaan.

“Selagi itu, kita tidak boleh ambil tindakan, perlu dapatkan dokumen itu dulu dan menggunakannya sebagai bukti bahawa ia (perjanjian) benar berlaku,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Kabinet Mengenai Anti Rasuah (JKKMAR) keenam di sini, hari ini.

Dr Mahathir berkata, kerajaan perlu melihat dokumen itu bagi mengetahui kebenarannya.

Sebelum ini, Menteri Kewangan, Lim Guan Eng, berkata kerajaan akan meneliti laporan WSJ yang mendakwa China dianugerahkan Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) dan Saluran Paip Gas Trans-Sabah (TSGP) ketika negara di bawah pentadbiran Barisan Nasional (BN) sebagai ganjaran kepada tawaran China bagi menyelamatkan 1MDB yang berdepan masalah kewangan.

Guan Eng berkata beliau berharap mendapat salinan dokumen yang dipetik WSJ sebagai ‘minit mesyuarat’ antara Malaysia dan China, sebelum boleh memberi ulasan lanjut.

Laporan WSJ sebelum ini menyatakan bahawa pada 2016, pegawai China memberitahu pegawai Malaysia bahawa kerajaan China akan menggunakan pengaruh untuk memastikan negara lain termasuk Amerika Syarikat menggugurkan siasatan ke atas 1MDB.

Sebagai balasan, kerajaan Malaysia menganugerahkan projek rel dan saliran paip kepada inisiatif ‘One Belt, One Road’ China.

Laporan WSJ juga menyatakan bahawa perjanjian projek rel dan saliran paip bernilai AS$34 bilion (RM140 bilion) ditandatangani oleh perdana menteri ketika itu, Datuk Seri Najib Razak dan China.

Projek berkenaan dikatakan akan dibiayai bank-bank China dan membabitkan pekerja dari China.

Memetik sumber, laporan itu turut menyatakan bahawa selain menganugerahkan projek kepada China, Najib juga mengadakan rundingan sulit bagi membenarkan tentera laut China berlabuh di dua pelabuhan Malaysia.

Berita Harian X