Jumaat, 11 Januari 2019 | 11:20am
Twitter Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

Tun M sedih pemergian Bakhtiar

KUALA LUMPUR : Tun Dr Mahathir Mohamad sedih dengan pemergian Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Semenyih, Bakhtiar Mohd Nor, 57, susulan serangan jantung pagi tadi.

Sehubungan itu, Perdana Menteri yang juga Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) menyampaikan salam takziah kepada keluarga Allahyarham.

“Saya berasa dukacita atas pemergian Allahyarham Baktiar, ADUN Semenyih dan mengambil kesempatan menyampaikan salam takziah buat keluarga Allahyarham.

“Saya doa moga Allahyarham ditempatkan kalangan para solehin. Semoga keluarga Allahyarham tabah dengan dugaan ini,” katanya dalam satu kenyataan, di Twitter rasminya, pagi ini.

Bakhtiar meninggal dunia di Hospital Kajang pada jam 4.45 pagi tadi.

Jenazah Allahyarham dijangka akan dibawa pulang ke rumah keluarga di Batu 19, Jalan Sungai Lalang, Semenyih, dan akan disembahyangkan selepas solat Jumaat di Masjid Kampung Pasir, Semenyih.

Jenazah kemudian akan disemadikan di Tanah Perkuburan Kampung Pasir.

Bakhtiar menjadi wakil rakyat di Semenyih selama lapan bulan selepas mengalahkan penyandang kerusi, Datuk Johan Abd Aziz, daripada Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) Mei tahun lalu dengan majoriti 8,964 undi.

Beliau yang juga Ketua Bahagian BERSATU Hulu Langat memperoleh 23,428 undi.

Berita Harian X