Jumaat, 11 Januari 2019 | 4:24pm
JENAZAH Bakhtiar disolatkan di Masjid Jamek Kampung Pasir Baru. - Foto Azhar Ramli

Jenazah Bakhtiar selamat dikebumikan

SEMENYIH: Jenazah Ahli Dewan Undangan (ADUN) Semenyih, Bakhtiar Mohd Nor, selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Kampung Pasir Baru di sini kira-kira jam 3 petang tadi.

Terdahulu, jenazah disolatkan di Masjid Jamek Kampung Pasir Baru yang diimamkan oleh ADUN Taman Medan, Syamsul Firdaus Mohamed Supri, selepas solat Jumaat pada jam 2.15 petang.

Dianggarkan seramai 200 orang ramai termasuk pemimpin tertinggi dan wakil rakyat Pakatan Harapan (PH) hadir pada solat jenazah itu.

Antara mereka ialah Setiausaha Agung Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU), Datuk Marzuki Yahya, dan ADUN Kota Anggerik, Najwan Halimi.


JENAZAH Bakhtiar dikebumikan di Tanah Perkuburan Kampung Pasir Baru, petang tadi. - Foto Azhar Ramli

Bakhtiar, 57, meninggal dunia di Hospital Kajang pada jam 4.45 pagi tadi.

Allahyarham meninggalkan seorang balu, Basirah Sardiq Muhammad, 49 dan lima orang anak.

Bakhtiar menjadi wakil rakyat di Semenyih selama lapan bulan selepas mengalahkan penyandang kerusi, Datuk Johan Abd Aziz, daripada Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) Mei tahun lalu dengan majoriti 8,964 undi.

Beliau yang juga Ketua Bahagian BERSATU Hulu Langat memperoleh 23,428 undi.

Berita Harian X