Jumaat, 11 Januari 2019 | 5:31pm

Sistem eNTRI beroperasi semula 15 Januari

PUTRAJAYA: Sistem Maklumat Pendaftaran Pelancong Elektronik (eNTRI), iaitu kemudahan tanpa visa bagi pelawat dari China dan India yang sedang dalam proses penambahbaikan dijangka beroperasi sepenuhnya pada 15 Januari ini.

Kementerian Dalam Negeri (KDN) dalam satu kenyataan, berkata kerajaan juga memutuskan untuk melanjutkan kemudahan tanpa visa itu melalui Pewartaan Kerajaan Persekutuan (Perintah Pasport) selama setahun sehingga 31 Disember ini.

“Susulan daripada laporan akhbar berhubung kelemahan pada sistem eNTRI, kerajaan sudah tangguhkan sementara pelaksanaan eNTRI bagi membolehkan proses penambahbaikan dalam aspek keselamatan dilaksanakan.

“Sistem eNTRI yang sedang dalam proses penambahbaikan ini dijangka akan beroperasi sepenuhnya pada 15 Januari ini,” katanya.

Menurut kenyataan itu, pelaksanaan permohonan visa secara dalam talian (eVISA) bermula sejak 1 Mac 2016 dengan objektif utama mengukuhkan industri pelancongan apabila kaedah permohonan visa pelancong yang ingin melawat Malaysia bagi tempoh 30 hari dilaksanakan dengan lebih mudah lagi cepat.

Katanya, pelaksanaan eNTRI pula adalah kemudahan tanpa visa bagi pelawat dari China dan India untuk memasuki Malaysia atas tujuan melancong atau sosial bagi tempoh 15 hari.

Ia mula dilaksanakan kepada pelancong warganegara China pada 1 Mac 2016 sebelum diperluas kepada pelancong India pada 1 April 2017 dengan lanjutan dilaksanakan secara tahunan mengikut keperluan.

“Kementerian akan memastikan pelaksanaan permohonan visa melalui eVISA dan eNTRI berjalan dengan lancar serta tidak menjejaskan kemasukan pelancong China dan India ke negara ini tanpa bertolak ansur dalam aspek keselamatan negara,” katanya.

Berita Harian X