Jumaat, 11 Januari 2019 | 9:43pm
Amiruddin (dua dari kiri) melihat surat tawaran kemasukan ke MRSM, Nurul Syafika (tiga dari kanan) di Kampung Empa,Wang Tepus. - NSTP/Amran Hamid

ANSARA bantu pelajar miskin ditawarkan tempat ke MRSM

KUBANG PASU: Majlis Amanah Rakyat (MARA) digesa menampung sepenuhnya kos pelajar daripada keluarga B40 yang berjaya memasuki Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) bagi memastikan mereka tidak menolak tawaran itu akibat kemiskinan.

Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Amirudin Hamzah, berkata ada kes pelajar yang mendapat tempat hampir menolak tawaran kerana keluarga tidak mampu menanggung perbelanjaan menghantar anak ke MRSM.

Beliau yang juga Ahli Persatuan Bekas Pelajar MRSM (ANSARA) berkata, beliau akan membawa perkara ini ke mesyuarat Kabinet bagi memaklumkan permasalahan yang dihadapi keluarga B40 agar satu mekanisme penyelesaian dapat dicapai.

“Apabila MARA membuat ketetapan sekurang-kurangnya 66 peratus pelajar MRSM adalah daripada golongan B40, sudah pasti terdapat keluarga yang miskin tidak mampu mengeluarkan belanja persediaan persekolahan yang tinggi.

“Kita tidak mahu mereka yang sudah mendapat tawaran terpaksa menolak kerana tidak mampu menyediakan perbelanjaan. Sudah tiba masa, MARA mempertimbangkan penyelesaian menyeluruh kepada golongan ini,” katanya selepas menyerahkan bantuan kepada pelajar miskin, Nurul Syafika Mohd Asri, 13, di Kampung Empa, Wang Tepus, di sini, hari ini.

Disember lalu, Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Rina Mohd Harun, dilaporkan berkata, kerajaan menetapkan kuota 65 peratus kemasukan baharu ke MRSM bagi sesi 2019, mesti diisi pelajar daripada golongan B40.

Kuota maksimum pengambilan pelajar baharu untuk 54 MRSM seluruh negara bagi tahun depan adalah 7,760 bagi kemasukan Tingkatan 1, manakala 2,245 tempat lagi untuk Tingkatan 4.

Ditanya sama ada gesaan terbabit dibawa ke Kabinet, Amirudin yang juga Ahli Parlimen Kubang Pasu berkata, pihaknya akan menggunakan saluran yang ada seperti Majlis MARA yang boleh membincangkan perkara berkenaan sebelum dibawa ke peringkat Kementerian Luar Bandar.

“Perkara ini perlu dipertimbangkan kerana yuran kemasukan bagi tingkatan satu pun sudah lebih RM300 dengan bulanan RM50.

“Bagi setengah pihak melihat jumlahnya kecil tetapi bagi golongan B40, ia satu jumlah yang besar dan ia tidak termasuk perbelanjaan lain,” katanya.

Sementara itu, ibu Nurul Syafika, Norhazniza Saad, 34, berkata dia memang tidak mampu menampung perbelanjaan menghantar anak sulungnya itu yang mendapat tawaran belajar di MRSM Baling.

“Saya hampir menyuruh Syafika belajar di sekolah menengah berdekatan kampung sahaja kerana pendapatan sebagai penoreh getah kira-kira RM300 tidak mampu menampung semua kos.

“Mujur Persatuan Bekas Pelajar MRSM (ANSARA) tampil membantu kerana sehingga hari ini saya masih tidak mempunyai wang bagi membayar yuran pendaftaran Syafika yang perlu mendaftar pada Isnin ini,” katanya.

Syafika yang juga bekas murid Sekolah Kebangsaan (SK) Haji Penghulu Darus, Wang Tepus, mendapat keputusan 5A 1B pada Ujian Pentaksiran Sekolah Rendah (UPSR) yang lalu.

Berita Harian X