Sabtu, 12 Januari 2019 | 10:30am

Saingan 4 penjuru di Cameron Highlands

CAMERON HIGHLANDS: Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Cameron Highlands menyaksikan saingan empat penjuru membabitkan calon Pakatan Harapan (PH), M Manogaran; calon Barisan Nasional (BN), Ramli Mohd Noor; serta dua calon Bebas iaitu Sallehudin Ab Talib dan Wong Seng Yee.

Mereka mengemukakan borang pencalonan masing-masing sebelum tempoh sejam penamaan calon tamat tepat jam 10 pagi tadi.

Pengumuman rasmi calon yang bertanding dibuat Pegawai Pengurus PRK Cameron Highlands, Datuk Ishak Md Napis, sebentar tadi.


CALON yang bertanding untuk PRK Cameron Highlands, M. Manogaran (dua dari kiri), Ramli (dua dari kanan), Sallehudin (kiri) dan Seng Yee ketika ditemui pusat penamaan calon PRK Parlimen Cameron Highlands. - NSTP/Farizul Hafiz Awang

Proses penamaan calon PRK Cameron Highlands berlangsung di Dewan Gemilang Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sultan Ahmad Shah, dengan tempoh masa satu jam diberikan SPR bagi semua calon mengemukakan Kertas Penamaan Calon masing-masing.

PRK itu diadakan susulan keputusan Mahkamah Pilihan Raya membatalkan kemenangan bekas penyandang, Datuk C Sivarraajh pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) selepas memutuskan berlaku amalan rasuah untuk mempengaruhi pengundi di kawasan itu.

Hari pengundian ditetapkan 26 Januari ini.

RAMLI Mohd Noor. - NSTP/Aizuddin Saad
(DARI kiri) Sallehudin, Seng Yee, Ramli dan Manogaran.
Berita Harian X